fbpx

Cari tiga kawan, tanya khabar mereka – Henry Golding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HENRY menyebarkan mesej kepada peminat untuk kekal berhubungan dengan rakan-rakan dan bertanya khabar mereka dalam menghadapi kesukaran berdepan pandemik dan lockdown ketika ini.

PETALING JAYA – Keadaan semasa di negara ini yang berdepan siri lockdown tidak berkesudahan sehingga menyebabkan ramai terjejas bukan hanya dari segi kewangan bahkan kesihatan mental membuatkan aktor kelahiran Malaysia, Henry Golding yang berpangkalan di Hollywood tampil bersuara.

Menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagramnya semalam, pelakon filem Crazy Rich Asians itu berkata, dia mengambil maklum akan keadaan semasa yang berlaku di Malaysia ketika ini.

Ketika ramai yang berdepan kehilangan pekerjaan, kes bunuh diri juga mencatatkan peningkatan saban hari akibat tekanan hidup.

Justeru, aktor itu melakukan cabaran kepada semua untuk menghubungi tiga orang kawan atau kenalan dan bertanya khabar mereka setiap hari.

“Kawan-kawan anda mungkin ada yang terfikir untuk bunuh diri. Dengan pelaksanaan lockdown yang tidak berkesudahan, ramai hilang kerja, kawalan pergerakan dan banyak lagi. Kesejahteraan dan masalah kesihatan mental orang ramai menjadi taruhan.

“Saya nak buat cabaran untuk kalian, cari tiga orang rakan dan tanya keadaan kesihatan mental mereka. Tanya dari hati ke hati, hantar mesej atau nota ringkas “kita sedang memikirkan mereka”,” tulisnya pada bahagian kapsyen.

Dalam video berkenaan, Henry, 34, turut memaklumkan tentang kewujudan banyak pertubuhan bukan kerajaan dan organisasi di Malaysia yang membantu dalam isu pengurusan kesihatan mental.

“Ada banyak organisasi di Malaysia dan salah satunya ialah Befrienders Kuala Lumpur dengan nombor untuk dihubungi 03-76272929. Mereka menawarkan bantuan moral dan cara menangani keinginan bunuh diri.

“Perkara ini boleh jadi kepada kawan kita sendiri atau seseorang yang dikenali di pejabat tetapi kehilangan pekerjaan. Perbualan ringkas boleh membendung musibah besar daripada berlaku. Bayangkan terima panggilan atau mesej daripada seseorang yang prihatian tentang anda. Usaha sebegini boleh berikan perubahan drastik pada emosi seseorang,” ujarnya.

Pada masa sama, pelakon kelahiran Sarawak itu juga tidak ketinggalan menitipkan kata-kata semangat buat rakyat Malaysia yang kini berdepan kesukaran hidup akibat pandemik dan lockdown.

“Saya tahu apa yang kalian sedang lalui di Malaysia. Saya sayangkan kalian dan kita mampu lakukan ini bersama-sama. Jangan putus harapan dan jangan lupa bertanya khabar kepada rakan-rakan,” tuturnya.

Perkongsian Henry yang menggunakan platform media sosialnya untuk menyebarkan kesedaran tentang isu kesihatan mental menerima pujian daripada peminat dan rakan pelakon lain. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI