fbpx

Operasi kaunter di bawah MOT secara janji temu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Semua perkhidmatan kaunter agensi di bawah Kementerian Pengangkutan yang akan dibuka mulai 1 Julai ini adalah secara janji temu berjadual manakala ‘walk-in’ tidak dibenarkan.

Kementerian Pengangkutan memaklumkan, bagi urusan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ia melibatkan semua perkhidmatan kaunter untuk transaksi berkaitan kenderaan komersial dan persendirian kecuali mana-mana perkhidmatan yang boleh dilakukan menerusi portal mySIKAP atau rakan strategik JPJ.

Katanya, terdapat 38 transaksi dalam talian melalui portal mySIKAP, namun 11 transaksi memerlukan kaedah pendaftaran melalui pengesahan biometrik (sekali daftar) bagi meneruskan transaksi melalui portal mySIKAP.

“Ia melibatkan salinan lesen kenderaan motor, permohonan pertukaran hak milik (pemilik baharu), pertukaran hak milik (pemilik berdaftar), cabutan pek maklumat kenderaan, pertanyaan maklumat pemilik kenderaan dan maklumat kenderaan Vehicle Information Pack (VIP).

“Selain itu ialah tempah nombor pendaftaran, maklumat pemilik, permohonan mengecop semula nombor casis, mengecop semula nombor enjin serta perubahan maklumat alamat atau nombor telefon atau e-mel,” menurut kenyataan akhbar tersebut di sini hari ini.

Untuk urusan di Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), semua permohonan boleh dibuat melalui janji temu kecuali urusan kad pemandu.

“Pengusaha dan syarikat boleh membuat janji temu melalui portal https://www.apad.gov.my/temujanji/index.html yang boleh diakses bermula pukul 4 petang tadi.

“Bagi permohonan Lesen Perubahan Sementara, ia hendaklah dibuat secara terus melalui emel [email protected]. Dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN), pengusaha dan syarikat tidak terikat dengan keperluan untuk mengemukakan permohonan memperbaharui lesen dalam tempoh 90 hari sebelum tamat tempoh lesen,” jelasnya.

Sehubungan itu, proses serahan keputusan, janji temu hendaklah dibuat melalui emel [email protected], [email protected], [email protected] dan [email protected].

Mengenai transaksi di kaunter Jabatan Laut Malaysia (JLM) melibatkan semakan dokumen-dokumen pelaut, semakan sijil-sijil kapal, urusan pertukaran anak kapal, pembelian buku latihan pelaut, pengambilan dokumen-dokumen pelaut, pengambilan sijil atau permit kapal serta pembayaran yang tidak dapat dilaksanakan secara dalam talian.

Tambahnya, janji temu boleh dibuat melalui talian hotline 03-33467777/7620 atau emel [email protected] atau Facebook @JabatanLautMalaysia. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI