RANTAU PANJANG – Seorang penyeludup lari meninggalkan kereta dipandunya yang membawa muatan pelbagai barangan seludup seberat 551 kilogram ketika ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 di Jalan Kasban-Jeram Perdah di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11.15 malam itu, suspek yang memandu kereta jenis Proton Saga telah memecut laju keretanya meskipun sudah diarahkan oleh anggota PGA untuk berhenti.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Superintendan Azhari Nusi berkata, apabila tiba di lokasi tersebut, penyeludup telah bertindak memberhentikan keretanya secara mengejut di tepi jalan sebelum melarikan diri ke kawasan hutan.
Katanya, pemeriksaan di dalam kereta berkenaan telah menjumpai beras Siam seberat 125 kilogram (kg) , beras pulut (150 kg) dan kotak mengandungi ayam sejuk beku (276 kg)
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM12,310. Kesemua barangan seludup termasuk kereta itu dibawa ke Kompeni Taktikal PGA di Jeram Perdah untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azhari memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Perkhidmatan Malaysia 2011 dan Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi Dan Beras 1994. – K! ONLINE.