fbpx

Sektor pertanian, penternakan akan terus beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ronald (dua dari kanan) dan Ahmad (kanan) diberikan penerangan oleh Pengerusi PT Swift Marketing Sdn. Bhd. Datuk Aziz Jamaluddin (kiri) ketika meninjau operasi di loji berkenaan di Puchong hari ini.

PETALING JAYA – Sektor pertanian, penternakan, perikanan serta industri makanan akan terus dibenarkan beroperasi selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, sehingga semalam, sebanyak 105,869 surat kebenaran beroperasi telah dikeluarkan.

“Pihak MAFI akan memastikan operasi sektor ini tanpa sebarang gangguan bagi menjamin kelangsungan rantaian ekonomi serta pengusaha yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau sebelum itu meninjau operasi di loji pemprosesan sarang burung walet PT Swift Marketing Sdn. Bhd. di Puchong dekat sini bagi memastikan operasi loji-loji ini yang terlibat dalam pasaran eksport tidak terganggu dan berterusan sepanjang masa.

Turut serta dalam lawatan kerja itu ialah Timbalan I MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Datuk Dr. Norlizan Mohd Noor.

Menurut Ronald, sebanyak 2,905 buah rumah burung walet telah berjaya mempunyai persijilan MyGAP.

“Bagi memenuhi protokol eksport sarang burung walet ke negara China, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah mengakreditasi dan memberi pentauliahan pensijilan Veterinary Health Mark (VHM) kepada 30 loji pemprosesan dan bagi pensijilan Good Veterinary Hygiene Practice (GVHP) sebanyak 44 loji pemprosesan.

“MAFI sentiasa menggalakkan pengeksportan produk-produk sarang burung walet ke luar negara bagi meningkatkan nilai eksport produk dan daya saing industri ini secara keseluruhannya,” jelasnya.

Tambahnya, sehingga April lalu, eksport tersebut mencecah sebanyak 962 tan metrik dengan nilai RM714 juta.

“Terbukti eksport komoditi ini kekal kukuh terutamanya semasa negara masih berdepan dengan cabaran penularan pandemik Covid-19,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI