fbpx
Produk vape bernikotin semakin popular dalam kalangan perokok dalam usaha menghentikan ketagihan merokok. - Gambar hiasan

Cukai cecair vape bernikotin tingkat hasil negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Persatuan vape tempatan menggesa kerajaan supaya segera melaksanakan cukai eksais ke atas produk cecair vape bernikotin untuk memaksimumkan hasil kutipan cukai daripada industri vape.

Ia ekoran laporan memetik Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang menyatakan kutipan eksais untuk cecair vape berjumlah kurang RM100,000 pada suku pertama tahun ini, jauh lebih rendah berbanding anggaran industri iaitu sebanyak RM300 juta setahun.

Ketua Penerangan Dewan Perniagaan Vape Malaysia, Ashraf Rozali berkata, kutipan rendah disebabkan duti eksais yang dilaksanakan hanya termaktub kepada cecair vape tanpa nikotin, yang mewakili sekitar tiga peratus daripada keseluruhan cecair vape di pasaran.

Jelasnya, 97 peratus selebihnya adalah cecair vape bernikotin yang kini tidak dikawal selia dan tidak dicukai.

Ashraf

“Struktur cukai ke atas produk vape pada masa ini tidak efektif kerana ia tidak mencakupi semua produk yang terjual dalam pasaran.

“Kerajaan harus mengambil kira cadangan kami untuk melaksanakan cukai eksais pada cecair vape bernikotin bagi memaksimakan kutipan cukai daripada industri vape.

“Jika cukai eksais dilaksanakan pada cecair vape bernikotin, kerajaan akan peroleh pendapatan yang berlipat kali ganda dan ia boleh dimanfaatkan untuk membantu ekonomi negara pada waktu sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Buat masa ini, kerajaan hanya mengenakan cukai eksais 10 peratus ke atas peranti dan 40 sen ke atas setiap mililiter cecair vape tanpa nikotin yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2021.

Dalam pada itu, Presiden Malaysian Vape Industri Advocacy, Rizani Zakaria berkata, pihak industri sedia bekerjasama dengan kerajaan untuk memberi input dan turut serta dalam sebarang perbincangan bagi mengubal rang undang-undang baharu berkaitan produk cecair vape bernikotin.

Tambahnya, walaupun industri vape dilihat seperti tidak begitu mendapat perhatian khusus oleh kerajaan, hakikatnya industri ini dinilai berjumlah RM2.27 bilion dan mampu membawa pendapatan besar buat negara dari segi cukai jika dilaksanakan dengan sempurna.

Rizani

“Pada waktu sukar ini, ramai berdepan pelbagai masalah terutamanya dari segi ekonomi dan peluang pekerjaan dan saya percaya industri ini boleh menjadi salah satu sektor untuk membantu memulihkan ekonomi negara.

“Oleh itu, saya berharap kerajaan mengambil kira peluang dalam industri ini dan perhalusi cadangan kami.

“Walaupun tanpa kawal selia kerajaan, industri ini telah berjaya berkembang dengan cepat dan sekiranya kerajaan benar-benar menumpukan perhatian dan mengawal selia, kami yakin industri vape tempatan akan menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara,” jelasnya.

POPULAR