fbpx
MEER NASH

Memang sasarkan peminat K-pop – Meer Nash

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOLOKAN Oppa Malay yang diraihnya ketika menyertai program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) tahun lalu membuka lebih banyak ruang dan peluang dalam kerjaya nyanyian jejaka bernama Meer Nash itu.

Tidak hanya daripada segi penampilan, Meer Nash itu turut memanfaatkan gelaran tersebut apabila berjinak-jinak dalam bidang penciptaan lagu selepas menghasilkan single berjudul Saranghae berkonsepkan muzik K-pop.

Bagi pemilik nama sebenar, Muhamad Shahmeer Mohd. Nashrul, Saranghae terbitan Universal Music Malaysia merupakan pertaruhan pertamanya bergelar komposer dan penulis lirik secara serius.

Penghasilan Saranghae secara tidak langsung menjadi pengalaman berharga buat diri dan kerjayanya kerana segala apa yang diminati dan diinginkan selama ini telah didokumentasikan ke dalam sebuah naskhah.

“Lagu Saranghae ini adalah karya saya sendiri. Kalau ikutkan lagu ini bukan lagu pertama saya.

“Sebelum ini saya pernah menulis beberapa lagu, tetapi belum cukup bagus untuk diketengahkan.

“Namun apabila saya menulis lagu ini (Saranghae), saya puas hati dan menyifatkan lagu tersebut boleh dikomersialkan,” kongsi penyanyi berusia 26 tahun itu.

MEER NASH memilih genre K-pop kerana sangat meminati muzik daripada negara Korea Selatan itu yang dianggap unik, segar dan tersendiri. – UNIVERSAL MUSIC

Gelaran Oppa Malay

Bercakap soal ritma K-pop, alasan Meer Nash mudah. Elemen dan frasa pop popular tersebut begitu sinonim dengan namanya selepas menyertai program ICYVMY, apatah lagi dia juga diberi gelaran Oppa Malay.

“Jadi saya mahu gunakan identiti tersebut menerusi penampilan dalam Saranghae,” ujarnya.

Biarpun muzik yang ingin dipersembahkan dalam lagu Saranghae berlandaskan kecenderungan dan sesuatu yang digemarinya, Meer Nash secara peribadi mengakui bukan mudah untuk menyiapkan lagu tersebut.

“Pada awalnya, saya rasa lirik lagu ini agak kosong. Sebab ini kali pertama saya tulis lagu dan lirik. Saya ada bertanya kepada seorang kawan baik juga sebab dia pernah menyertai kumpulan K-pop. Jadi dia tahu cakap Korea.

“Saya tanya dan minta pendapat dia tentang muzik lagu ini. Dia ada idea dan banyak membantu saya,” katanya.

Mengenai single Saranghae, Meer Nash menyasarkan kelompok peminat muzik K-pop kerana yakin lagu tersebut mudah diterima selain mesra telinga.

“Sasaran saya untuk lagu ini adalah peminat K-pop. Sebab dalam negara kita sendiri ada ramai peminat muzik tersebut. Jadi, saya nak gunakan gelaran yang diberikan sebaik-baiknya.

MENERUSI single pertama tulisan sendiri, Meer Nash berharap Saranghae bakal membawa tuah kepadanya.

Iras Jimin BTS?

Membuat keputusan untuk membawakan genre muzik K-pop, Meer Nash cukup menyedari tentang kemungkinan risiko mendapat kecaman atau berdepan kritikan hebat dalam kalangan peminat muzik tersebut di Malaysia.

Bagaimanapun, anak jati kelahiran Pulau Pinang itu tekad mempertaruhkan muzik sedemikian dan bersedia untuk berlapang dada, sekiranya itu situasi yang harus ditempuh.

“Saya tahu di Malaysia ada peminat K-pop yang sangat kuat. Tetapi saya sudah bersedia untuk menerima kecaman.

“Kalau ikutkan, awal-awal lagi saya pernah dikecam, muka macam tapak kaki Jimin (salah seorang anggota BTS),” katanya.

Namun, pada masa sama, Meer Nash tidak menafikan bahawa kecaman sebenarnya boleh membuatkan dia hilang keyakinan diri.

Biarpun begitu, dia harus kuat untuk menempuhi kecaman tersebut selepas mengambil keputusan untuk menjadi artis.

Dalam masa sama, Meer Nash sebenarnya tidak bersetuju dengan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan wajahnya mirip Jimin.

Namun, jika dilihat daripada aspek ketinggian dan usia, dia ada persamaan dengan penyanyi kumpulan yang sedang mencetuskan fenomena di seluruh dunia itu.

“Memang ada yang mengatakan bahawa wajah saya mirip Jimin. Tetapi saya langsung tak rasa muka kami sama. Namun kami memiliki ketinggian yang sama iaitu 174 sentimeter.

“Ada juga yang mengatakan fesyen dan gaya rambut kami hampir serupa walaupun saya tidak pernah jadikan dia (Jimin) sebagai rujukan fesyen. Saya sendiri yang mahu gaya sebegini,” katanya.

SEDAR muzik K-pop mempunyai pengaruh kuat, Meer Nash telah bersedia untuk dikecam oleh peminat tegar muzik tersebut.

Minat Dolla

Ditanya tentang pilihan artis tempatan yang sangat dikagumi, Meer Nash memetik nama kumpulan muzik Dolla, bahkan teringin bekerjasama dengan kumpulan itu suatu hari nanti.

Di mata Meer Nash, Dolla merupakan sebuah kumpulan muzik wanita yang cukup hebat.

“Saya bukan penari yang baik, tetapi saya berharap suatu hari nanti dapat berkolaborasi dengan Dolla.

“Saya rasa Dolla merupakan kumpulan muzik yang bagus. Muzik mereka hebat, suara mereka juga mantap,” ujarnya.

Kata jejaka yang gemar memasak itu, dia tidak mengharapkan lebih sehingga dipuja mahupun disanjung dalam industri, cukup sekadar kehadirannya sebagai penyanyi dapat diterima, sekali gus membuka ruang perkongsian minatnya terhadap muzik.

“Terima kasih kepada peminat yang menyokong lagu dan kehadiran saya. Saya akan buat yang terbaik untuk anda semua,” tutup Meer Nash.

POPULAR