fbpx

Kerani akaun rugi hampir RM1 juta ditipu love scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEBERANG PERAI – Seorang ibu tunggal di Bukit Mertajam di sini berputih mata apabila wang simpanannya hampir RM1 juta lesap dipercayai selepas menjadi mangsa penipuan love scam semalam.

Mangsa berusia 58 tahun yang bekerja sebagai kerani akaun di sebuah pasar raya dikatakan mula terjerat dalam penipuan itu selepas berkenalan dengan individu kononnya dari Amerika Syarikat pada April 2019 melalui media sosial Instagram.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, selepas berkenalan dengan lelaki bernama William tersebut, mereka kemudiannya berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, dalam tempoh berkawan, suspek memaklumkan ingin meminjam wang dari mangsa untuk urusan perniagaan cari gali petrol di Amerika Syarikat.

“Dalam tempoh kira-kira 22 bulan, mangsa melakukan beberapa transaksi pemindahan wang ke dalam lima akaun bank yang keseluruhannya berjumlah RM927,400.

“Selepas memasukkan wang tersebut, mangsa cuba menghubungi suspek beberapa kali, namun gagal dan dia akhirnya berasa ditipu sebelum membuat laporan polis semalam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Difahamkan, mangsa menggunakan wang persaraannya di dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk diserahkan kepada suspek.

Sementara itu, Shafee berkata, siasatan polis mendapati mangsa dipercayai menjadi mangsa penipuan love scam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI