fbpx

Northport kendali 1.017 juta FWT pada bulan Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bijirin adalah antara penyumbang tertinggi bagi kendalian kargo di Northport pada Mei lalu.

PETALING JAYA – Northport (M) Bhd. (Northport) telah mencatat jumlah kendalian bulanan tertinggi bagi segmen perniagaan kargo konvensional pada bulan Mei 2021.

Kejayaan tersebut direkodkan setelah ahli Kumpulan MMC itu mengendalikan sejumlah 1,017,332 Freight Weight Tonnes (FWT) pada Mei lalu, melepasi jumlah sebelumnya iaitu 968,356 FWT yang dicatatkan pada bulan Ogos 2013.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, pencapaian ini adalah adalah hasil daripada usaha transformasi Kumpulan dalam operasi kargo konvensional, yang mana pihaknya telah mengambil pelbagai langkah untuk me­ningkatkan kecekapan operasi di kedua-dua terminal di Northport dan Southpoint.

“Antara usahanya adalah mengoptimumkan ruang dan kemudahan penyimpanan, rasio­nalisasi peralatan jentera dan run­dingan semula kontrak bersama vendor.

“Ia turut melibatkan langkah ke arah penambahbaikan proses melalui automasi sistem dan di­gitalisasi, pencarian data dan analisis, menggalakkan transformasi melalui pengembangan bakat serta kecekapan dalam kalangan kakitangan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Azman Shah menjelaskan, bagi lima bulan pertama tahun 2021, Northport telah mengendalikan sejumlah 4.1 juta FWT kargo konvensional, pertumbuhan sebanyak 32 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Penyumbang terbesar kepada kendalian yang tinggi ini adalah produk minyak sawit, bijirin serta besi dan keluli yang mana masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 80 peratus, 61 peratus dan 29 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Tambah beliau, jumlah kendalian yang tinggi untuk kargo konvensional di Northport sebahagian besarnya disumbangkan oleh kejayaan pengendalian kapal pukal kering bersaiz besar di terminal.

Northport kini mampu menawarkan produktiviti kapal sehingga 10,000 Deadweight Tonnage (DWT) setiap hari be­kerja mengikut cuaca (per weather working day) berikutan peningkatan proses dan produktiviti kerja.

Hasilnya, sebanyak dua belas kapal berkapasiti lebih dari 80,000 DWT telah berlabuh di Northport sejak Julai tahun lalu.

“Perancangan kami untuk masa hadapan adalah untuk memusatkan operasi kontena kami dalam satu terminal dan memberi ruang untuk perniagaan kargo konvensional berkembang di terminal yang lain.

“Ini akan meningkatkan lagi produktiviti pengendalian kargo dan mewujudkan ruang untuk pembinaan kemudahan baharu yang membolehkan kami menghasilkan produktiviti yang lebih baik,” tambah beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI