fbpx
Keadaan kereta Proton Wira dan motosikal jenis Honda EX5 yang terlibat kemalangan di Batu 6, Simpang Empat pada semalam.

Dua lelaki maut, motosikal bertembung kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Batu 6, Simpang Empat di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.05 malam itu, penunggang motosikal jenis Honda EX5, Muhammad Amirul Abdul Majid, 24, dan pembonceng, Muhammad Luthfan Mohd. Asrie, 15, meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara pemandu dan dua penumpang kereta jenis Proton Wira mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika motosikal tersebut dalam perjalanan dari Alor Setar menghala Simpang Empat.

“Kereta Proton Wira yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kejadian mengakibatkan penunggang dan pembonceng motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

“Pemandu Proton Wira berusia 20 tahun dan dua penumpang kereta berusia 18 dan 20 tahun mengalami luka pada tangan, muka dan lutut,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

POPULAR