fbpx
Gambar hiasan

PBKD lulus vaksin satu dos CanSino, Johnson & Johnson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-359 hari ini bersetuju memberi kelulusan pendaftaran bersyarat bagi dua jenis vaksin pelalian satu dos masing-masing keluaran CanSino dan Johnson & Johnson.

Vaksin berkenaan adalah Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector), keluaran CanSino Biologics Inc, China dan Janssen Covid-19 Vaccine keluaran Johnson & Johnson.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kedua-dua vaksin itu telah diberi kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Pendaftaran Janssen Covid-19 Vaccine yang diperoleh oleh kerajaan Malaysia adalah melalui fasiliti COVAX,” katanya menerus kenyataan akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, PBKD hari ini turut meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech kepada golongan yang berumur 12 tahun dan ke atas.

Menurutnya, Comirnaty yang sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat pada 8 Januari lalu, digunakan bagi tujuan imunisasi aktif kepada individu yang berusia 18 tahun dan ke atas.

“Walaupun tambahan indikasi ini telah diluluskan, keutamaan pemberian vaksin masih lagi kepada kumpulan berisiko tinggi selaras dengan dasar sedia ada yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).-K! ONLINE