fbpx

Tiada pakej haji, badal haji tahun ini – TH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menawarkan pakej haji dan badal haji bagi tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, ia susulan keputusan Kerajaan Arab Saudi yang tidak membenarkan jemaah negara luar termasuk Malaysia menunaikan haji di Tanah Suci itu.

Beliau berkata, penangguhan ini dibuat setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri membuat pengumuman rasmi yang diperoleh dari Kerajaan Arab Saudi semalam.

“Kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H/2021M dihadkan hanya untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut sahaja.

“Ini berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amrin berkata, bagi rakyat Malaysia yang bermastautin di Arab Saudi, mereka boleh memohon melalui Kementerian Haji & Umrah Arab Saudi untuk menunaikan haji tahun ini.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kriteria pemilihan dan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, bakal haji yang diperuntukkan giliran haji mereka pada tahun 2020 dan telah diberi keutamaan menunaikan haji pada tahun ini akan diberi keutamaan sekali lagi tahun hadapan.

“Bagi bakal haji yang gilirannya pada tahun ini (2021), mereka akan turut diberi peluang pada tahun hadapan, namun ia tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa,”ujarnya.

Justeru, Amrin memohon semua bakal haji untuk bersabar dan menerima keputusan ini dengan reda serta terus berdoa agar keadaan kembali pulih bagi membolehkan urusan haji diteruskan pada musim hadapan.

Sebarang pertanyaan dan makluman lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi TH, www.tabunghaji.gov.my atau hubungi talian Khidmat Pelanggan TH (THCC) di 03-62071919.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI