fbpx

‘Nasi sudah menjadi bubur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHENG HOE mahu anak-anak buahnya segera mengalihkan tumpuan pada aksi terakhir menentang Thailand bagi memburu kedudukan ketiga dalam Kumpulan G. – FAM

Cheng Hoe ingatkan skuad Harimau Malaya agar tidak terus meratapi kekalahan

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu pasukan segera melupakan episod duka tewas kepada Vietnam dengan memberi tumpuan pada aksi bertemu Thailand pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan G tengah malam Rabu depan.

Sebagai rekod, harapan skuad negara untuk melayakkan diri ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia 2022 sekali gus layak secara automatik ke Piala Asia 2023 tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai semalam.

Pada aksi tersebut, skuad Vietnam berjaya meraih jaringan menerusi Nguyen Tien Linh dan Que Ngoc Hai, manakala gol tunggal negara dihasilkan oleh penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula hasil sepakan penalti.

Kata Cheng Hoe, pasukannya telah memberikan aksi terbaik sepanjang perlawanan dengan bersaing sama hebat menentang skuad Naga Emas, tetapi nasib tidak memihak kepada mereka untuk mengutip mata berharga.

“Saya lihat pemain telah memberikan aksi terbaik di atas padang dengan mempamerkan semangat juang tinggi. Namun, kelekaan pada dua detik penting telah membuka peluang buat pasukan lawan menjaringkan gol.

“Inilah lumrah bola sepak yang kita perlu hadapi tetapi saya percaya tiada masa untuk pasukan meratapi kekecewaan ini dan segera mengalihkan tumpuan pada aksi terakhir menentang Thailand nanti.

“Kita masih ada peluang untuk menduduki tangga ketiga peringkat kumpulan, sekali gus meraih slot kelayakan Piala Asia 2023 yang seterusnya.

“Namun, kelebihan ketika ini sudah tentu memihak kepada Thailand kerana mereka memiliki masa rehat yang lebih panjang dan saya harap pemain saya bersedia dari segi mental dan fizikal,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Skuad negara ketika ini masih belum merekodkan sebarang kemenangan sejak berlepas ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan kekalahan kepada Kuwait 1-4 dalam aksi pemanas badan dan Bahrain (0-2) pada persahabatan antarabangsa.

Dalam aksi Kumpulan G menentang UAE minggu lalu, skuad Harimau Malaya turut dikecewakan dengan kekalahan 0-4.

Namun, rekod bertemu Thailand dalam aksi peringkat kumpulan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada November 2019 memihak kepada skuad kebangsaan dengan kemenangan 2-1.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI