fbpx

Hentikan manipulasi budak bawah umur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang dewasa bertanggungjawab memberi pelindungan kepada kanak-kanak bagi mengelakkan mereka dimanipulasikan oleh golongan tidak bertanggungjawab yang berkepentingan.
EDDY HAMIDI, WARTAWAN EKSEKUTIF

Pada 17 Februari lalu kecoh diperkatakan tentang seorang pengasas produk kecantikan mencium bibir seorang budak lelaki. Selepas itu timbul pula kisah seorang wanita memaksa anak­nya menghisap rokok elektronik.

Belum pun selesai kes-kes ini di mahkamah, netizen sekali lagi panas hati melihat tindakan tidak bermoral seorang usahawan kos­metik yang bersiaran secara langsung di platform Instagram bersama dua kanak-kanak sambil membincangkan isu seksual.

Mengapakah isu-isu seperti ini masih berlaku sedangkan sudah kerap kali terpampang di dada akhbar tentang akibat daripada perbuatan tidak bermoral itu? Adakah ia dibuat bagi mencetuskan kontroversi untuk kepenti­ngan diri sendiri?

Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim ketika dihubungi menyelar perbuatan tersebut dan menyifatkan tindakan itu sekadar untuk mencari publisiti murahan.

“Jika dilihat dari sudut tular, video-video seperti ini memang mendapat perhatian netizen.

“Mereka bukan tidak tahu tentang Akta Kanak-Kanak, saya rasa semua orang tahu mengenainya, namun tindakan mereka ini seolah-olah mencabar undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, selain ibu bapa, masyarakat perlu memainkan peranan penting dalam usaha mengekang perlakuan sebegini daripada berleluasa.

“Orang ramai harus segera melaporkan kejadian sebegini kepada pihak berkuasa jika terlihat sebarang perbuatan tidak bermoral oleh mana-mana pihak terhadap golongan kanak-kanak, lebih-lebih lagi apabila tular di media sosial.

“Pihak berkuasa juga perlu memperbanyakkan hebahan mengenai Akta Kanak-Kanak agar menjadi peringatan kepada semua orang untuk tidak meniru atau melakukan sesuatu yang lebih teruk,” ujarnya.

Shahul Hamid berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada mana-mana individu yang me­lakukan kesalahan di bawah akta tersebut.

Sementara itu, Pensyarah Psikologi Perkembangan Kanak-Kanak dan Remaja, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Abdul Rahman Ahmad Badayai berkata, ibu bapa perlu memberi lebih perhatian kepada kelakuan anak-anak dan dengan siapa mereka bergaul.

“Menjadi tanggungjawab sebagai ibu bapa untuk memberi pendidikan serta perlindungan kepada anak-anak sekali gus membentuk jati diri mereka sepanjang proses pembesaran.

“Tidak perlu hingga ke tahap mengongkong, namun cukup sekadar kerap bertanyakan tentang aktiviti harian anak-anak selain menetapkan masa mereka bersama gajet dan mengawal akses kepada platform tidak bermanfaat,” katanya.

Abdul Rahman menambah, orang ramai juga perlu dididik tentang hak-hak kanak-kanak termasuk privasi mereka kerana masih ada yang beranggapan bahawa hak privasi hanyalah untuk orang dewasa.

Katanya, masyarakat perlu sedar bahawa ada batasan dalam setiap perlakuan agar tidak me­lakukan sesuatu yang melampaui batas terutamanya jika melibatkan kanak-kanak.

“Kanak-kanak perlu dilindungi dan diterapkan dengan nilai-nilai murni kerana merekalah yang akan membesar menjadi pe­mimpin kelak.

“Malah golongan sarjana se­ring berkata, jika ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah keadaan generasi muda yang ada sekarang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI