fbpx

Jangan tunjuk bodoh, saya pernah rasa – Soo Wincci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOO WINCI

PETALING JAYA: Selebriti yang juga penyanyi, Dr . Soo Wincci berharap wanita masa kini sentiasa menjadi diri sendiri daripada menunjukkan ‘bodoh-bodoh sikit’ semata-mata mahu cepat dapat jodoh.

Katanya, pengalaman bercinta masa lalu hampir membuatkannya melupakan cita-cita dan kerjaya disebabkan nyaris menuruti kemahuan kekasih.

“Saya faham apa yang cuba disampaikan mengenai isu ‘buat-buat’ bodoh tetapi zaman sudah berubah dan pemahaman golongan khususnya anak muda zaman sekarang sudah berbeza.

“Ramai bagi komen, perlukah mereka buat begitu untuk ‘mengikat’ bakal suami. Tidak semestinya, sebab lelaki zaman sekarang pun ramai yang bijak menilai tetapi ditakuti ada juga yang ambil kesempatan.

“Jangan disebabkan hanya mahu berkahwin sahaja kita tunjuk bodoh kerana perjalanan perkahwinan itu masih panjang. Jangan nanti disebabkan tunjuk bodoh dari awal, hidup kita ditindas. Jadi saja diri sendiri.

“Saya bercakap daripada pengalaman. Dahulu saya nyaris mengorbankan cita-cita kerana buat-buat bodoh demi kekasih namun mujur saya cepat sedar,” katanya kepada Kosmo! Online.

Penyanyi lagu Terus Terang itu mengulas kenyataan pakar motivasi terkenal, Profesor Datuk Dr. Muhaya Mohamad yang ‘panas’ sejak semalam.

Video perkongsian Muhaya yang juga pakar mata itu berjudul ‘Kenapa Wanita Lambat Jodoh’ mencetuskan perdebatan ramai apabila menyebut perkataan ‘buat macam bodoh-bodoh sikit’.

Menerusi video berdurasi 56 saat tersebut, Muhaya berpendapat, wanita tidak seharusnya berusaha untuk mendapat taraf yang setanding atau melebihi kaum lelaki dalam kehidupan.

Biarpun penyataan tersebut disokong ramai dan dianggap mempunyai maksud tersirat, Wincci percaya , kenyataan sebegitu boleh memberi kefahaman berbeza terutama kepada golongan muda.

“Saya menghormati ketokohannya tetapi ada perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum bersuara, tambahan pula membabitkan isu wanita bujang dan perkahwinan.

“Adakah wanita yang belum berkahwin seperti saya sentiasa mahu kesamarataan? Adalah golongan ini sentiasa tunjuk pandai? Semua ini sedikit sebanyak boleh membuatkan ada pihak terasa.

“Saya bukan tidak mengikuti video berkenaan, begitu juga dengan perkongsiannya sebelum ini. Cuma sebagai penonton dan turut menerima pertanyaan pengikut, saya luahkan pendapat ini.

“Bagi saya jangan gunakan perkataan ‘bodoh’ sebab ‘bodoh’ itu satu konotasi negatif, sekali gus boleh cetuskan salah faham. Mungkin dia mahu sebut manja, lembut dan pandai bertolak ansur,” katanya.

Wincci kini baharu menamatkan kuarantin 14 hari selepas kembali dari tempat pengajiannya di Sepanyol dan dijangka pulang ke sana pada Ogos depan.

“Sebenarnya saya bercuti selama tiga bulan untuk melangsaikan beberapa projek, termasuk rakaman lagu baharu, penggambaran video muzik dan penerbitan sebuah program masakan.

“Namun disebabkan ‘total lockdown’, rancangan itu terpaksa diubah mengikut kesesuaian. Harapan saya, kita semua mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang Covid-19,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN