fbpx

Lelaki Myanmar mabuk, lemas semasa mandi di lombong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penyelam membawa naik mayat lelaki Myanmar yang lemas semasa mandi di lombong di Kampar pagi tadi.

KAMPAR – Mayat seorang lelaki Myanmar yang dilaporkan lemas semasa mandi di sebuah lombong dekat kebun buah-buahan di Kuala Kampar di sini semalam akhirnya ditemui oleh sepasukan anggota penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat semasa pencarian pagi tadi.

Mangsa ditemui di dasar lombong pada kedalaman kira-kira enam meter oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Ipoh pada pukul 11.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, kejadian pada pukul 6.30 petang itu berlaku ketika mangsa mandi di lombong tersebut bersama abangnya setelah dua beradik itu datang ke kebun buah-buahan berkenaan untuk memohon kerja.

Menurut beliau, mereka tiba di kebun itu pada pukul 4.30 petang sebelum diminta pemilik kebun untuk meninjau keadaan persekitaran terlebih dahulu sebelum memulakan kerja.

“Bagaimanapun, selepas dua jam abang mangsa memaklumkan kepada pemilik kebun yang adiknya lemas ketika mereka mandi di lombong di belakang kebun.

“Dia melihat adiknya berenang ke tengah lombong sebelum dilihat dalam keadaan terkapai-kapai dan cuba berenang untuk menyelamatkan mangsa namun tidak berjaya kerana keletihan,” katanya.

Lelaki terbabit juga memaklumkan, mereka dua beradik dalam keadaan mabuk semasa mandi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar, Meor Mohammad Ali Meor Hussin berkata, operasi mencari mangsa bermula pada pukul 7.30 pagi hari ini melibatkan 20 anggota yang melakukan pencarian pada permukaan air dan selaman oleh PPDA.

“Mangsa dijumpai di dasar lombong pada kedalaman lebih enam meter dan dibawa naik ke tebing untuk diserahkan kepada pihak polis.

“Operasi yang turut disertai Unit Anjing Pengesan (K9) bom itu tamat pada pukul 12.15 tengah hari,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI