PETALING JAYA – Industri buku tanah air sebelum ini berada dalam fasa malap ekoran sikap generasi muda yang kurang minat membaca selain lebih cenderung mendapatkan bahan bacaan melalui gajet berbanding secara konvensional.
Bagaimanapun, keadaan industri itu kini semakin tenat disebabkan pelaksanaan pelbagai variasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu yang menyebabkan jualan buku terus menjunam sehingga berlaku lambakan bahan bacaan.
Pesta buku antarabangsa yang menjadi antara sumber terbesar jualan tahunan syarikat penerbitan tempatan terpaksa dibatalkan selain buku-buku rujukan serta latihan tidak terjual ekoran penutupan sekolah akibat Covid-19.
Pengarah Telaga Biru Sdn. Bhd. (Telaga Biru), Datuk Dr. Zahazan Mohamed mendedahkan, berlaku lambakan stok buku terbitan syarikatnya yang masih belum terjual dengan kos keseluruhannya dianggarkan bernilai RM5 juta.
Menurutnya, nilai tersebut adalah kira-kira 20 peratus daripada buku-buku yang masih belum dijual akibat kesan daripada penularan Covid-19 sejak tahun lalu.
“Sejak tahun lalu, buku rujukan dan latihan mengalami lambakan yang terlalu banyak. Situasi ini disebabkan penutupan sekolah-sekolah ekoran pelaksanaan PKP.
“Selain itu, majalah-majalah, buku-buku khas berkaitan ensiklopedia, autisme serta kekeluargaan, novel dan travelog merupakan genre yang mengalami lambakan,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Zahazan mengakui masalah lambakan buku sebenarnya bukanlah perkara baharu kerana masalah tersebut telah berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Sebagai contoh katanya, majalah dan buku dengan genre khas telah mengalami lambakan sejak tahun 2015 selain sikap kurang membaca dalam kalangan masyarakat.
Bagaimanapun, ujarnya, impak penularan Covid-19 menerusi pelaksanaan pelbagai variasi PKP menambahkan lagi kesukaran untuk buku-buku tersebut dipasarkan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kata-Pilar Books (Kata-Pilar), Rasydan Fitri berkata, nilai stok buku yang tidak dapat dijual akibat Covid-19 adalah antara RM300,000 hingga RM400,000.
Menurutnya, nilai tersebut tidak termasuk stok buku yang sudah lama berada di dalam gudang sebelum Covid-19 melanda negara.
“Secara kasarnya, mungkin antara 20 hingga 30 peratus buku kami yang tidak terjual. Lambakan bahan bacaan melibatkan semua genre terbitan syarikat.
“Akibat pandemik, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang menjadi antara sumber terbesar jualan buku tahunan syarikat telah dibatalkan, jadi di situ saja kami sudah kehilangan peluang untuk melakukan jualan secara besar-besaran,” ujarnya.
Rasydan berkata, pihaknya perlu memperkasakan lagi strategi pemasaran secara digital supaya pengguna lebih mudah mendapatkan bahan bacaan sekali gus meningkatkan semula jualan yang kini semakin merosot.
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, lebih 20 peratus buku terbitan pihaknya juga tidak terjual sejak Covid-19 melanda negara.
Katanya, pola kemerosotan jualan buku sepanjang tempoh pandemik pada tahun lalu diramalkan akan berterusan pada tahun ini, malah akan menjadi lebih teruk.
“Situasi ini menyebabkan penyusutan pendapatan DBP sebagai badan berkanun yang perlu mencari peruntukan dan dana sendiri sekitar 65 peratus kerana kerajaan hanya menyediakan kira-kira 35 peratus untuk emolumen (gaji dan elaun staf).
“Untuk kegiatan bahasa, sastera dan penerbitan, DBP banyak bergantung kepada perolehan sendiri terutamanya hasil jualan terbitan,” katanya.

Beliau berkata, DBP yakin akan dapat memperoleh pendapatan yang stabil secara beransur-ansur dengan perubahan strategi penerbitan dan pemasaran ke arah elektronik.
Ujarnya, antara strategi dilakukan termasuklah mengamalkan terbitan ‘CIP’ iaitu cetak ikut permintaan untuk mengatasi lambakan stok.
“Pada masa sama, terbitan buku secara elektronik dan digital digerakkan melalui pemasaran dalam talian (e-dagang),” katanya.
Transformasi industri cetak kepada elektronik, digital
PETALING JAYA – Takrifan industri penerbitan perlu ditransformasikan dengan meluaskan skopnya kepada terbitan elektronik serta digital bagi memastikan industri itu dapat bertahan lama.
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, kemerosotan dalam industri penerbitan cetak berlaku di seluruh dunia biarpun sebelum Covid-19 melanda.
Menurutnya, punca situasi itu berlaku adalah disebabkan perubahan tabiat masyarakat yang lebih gemar membaca bahan bacaan menerusi elektronik dan digital berbanding percetakan.
“Pola baharu ini melibatkan semua golongan kerana mengikut keperluan kerjaya serta gaya hidup era baharu.
“Maka itu, dunia penerbitan perlu diberi takrifan baharu iaitu diluaskan peranannya daripada terbitan bercetak kepada terbitan elektronik dan digital juga,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Awang memberitahu, jumlah terbitan negara yang selama ini berdasarkan bahan terbitan bercetak yang didaftarkan di Perpustakaan Negara Malaysia juga perlu diperluaskan kepada pendaftaran bahan elektronik dan digital.
“Selain pendigitalan buku, majalah dan bahan-bahan bacaan lain perlu diterbitkan dalam bentuk elektronik yang terangkum dalam industri kreatif dan menjadi agenda negara.
“Terbitan video, buku audio, animasi dan pelbagai aplikasi yang dapat dimasukkan dalam peranti mudah alih juga perlu diperbanyakkan,” ujarnya.
Awang berkata, dunia penerbitan negara kini tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek isi kandungan atau genre, sebaliknya kaedah penyampaian secara elektronik serta digital yang perlu dipelbagaikan.
“Kita perlu melatih ramai pakar dalam pembangunan aplikasi dan program untuk menerbitkan lebih banyak bahan bacaan secara moden,” ujarnya. -K! ONLINE














