KISAH mengenai seekor buaya putih yang dikatakan lahir sebagai kembar dengan seorang bayi lelaki sememangnya cukup terkenal pada zaman dahulu yang dikatakan berlaku di Kampung Rantau Panjang, Kota Tinggi, Johor.
Kepercayaan itu masih dipegang oleh orang-orang lama di kampung berkenaan.
Malah, ada yang mendakwa kisah tersebut bukan sekadar mitos dan benar-benar berlaku satu ketika dahulu yang mana dikatakan pernah disaksikan sendiri oleh keturunannya.
Menurut seorang lelaki yang mendakwa keturunan kembar buaya putih itu, Ishak Shariat, 65, dia merupakan anak saudara sepupu kepada reptilia tersebut yang turut diberi nama manusia sebagai Jailani.
Jelasnya, kembar buaya itu bernama Rahmat Taaral yang menetap di Petri Jaya telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya lima tahun lalu.
“Bapa kepada Rahmat dan buaya putih ini bernama Taaral Ma’alah Anan Syah Kahar. Datuknya iaitu Ma’alah atau dikenali sebagai Tok Timbang Tahil datang dari Sumatera Barat, Indonesia.
“Mereka juga merupakan peneroka awal yang membuka kampung ini,” ujarnya.
Menurut Ishak, cerita mengenai kembar buaya putih itu bermula kira-kira 80 tahun lalu ketika Rahmat dilahirkan.
Ujarnya, kembarnya yang merupakan buaya putih keluar dahulu disambut oleh bidan, disusuli Rahmat.
Katanya lagi, bentuknya seperti mengkarung kecil ketika lahir, namun fizikalnya ‘buaya’ pada ekor serta mulut yang berwarna putih kapas.
Pada ketika itu jelasnya, bidan meletakkan buaya itu ke dalam besen dan dengan kuasa Allah, ia membesar mengikut saiz besen yang mana disaksikan sendiri bapanya.
Ishak mendakwa, buaya itu kemudian diletak dalam kolah di tepi rumah dan turut membesar mengikut saiz kolah sebelum dilepaskan bapanya di pangkalan Ulu Sungai Johor ini kerana saiznya yang semakin membesar sekitar 3 hingga 4 meter.
Apa yang menarik, setiap kali Rahmat menangis, kembar buaya putih itu akan memunculkan diri dan naik ke darat.
“Pernah ketika usia saya 10 tahun, datuk (Taaral) tidak benarkan kami mandi di sungai kerana menurutnya ketika itu anaknya (buaya putih) sedang bergelut dengan seekor buaya ganas.
“Kami tidak dibenarkan mandi di sungai selama beberapa hari. Selepas 10 hari kemudian, dia beritahu kami bahawa anaknya telah menang dalam perlawanan itu. Kami semua dibenarkan ke sungai selepas itu.

“Sejak itu, tidak ada lagi kehadiran buaya-buaya ganas di sungai ini. Jika kita lihat sepanjang sungai ini, Sungai Linggiu, Sungai Sayong dan Sungai Johor yang memang diketahui ada buaya, namun tidak pernah berlaku kejadian reptilia ganas itu membaham manusia,” katanya.
Bapa kepada lima orang anak itu berkata, dia pernah menyaksikan sendiri datuknya bersama seekor buaya putih yang merupakan anaknya di pangkalan sungai.
Ketika itu dakwanya, Taaral sedang mandi pada satu petang dan buaya putih berkenaan muncul untuk bermain dan menyondol badannya.
“Taaral hanya cakap: “Pergi aku hendak mandi”. Itulah pertama kali saya dapat lihat dengan mata sendiri seekor buaya putih yang jinak,” ujarnya.
Dakwa Ishak, dia pernah diselamatkan buaya putih yang merupakan ‘bapa saudaranya’ itu ketika berusia dua tahun.
Menurutnya, mengikut cerita ibunya, pada masa itu dia terjatuh ke dalam sungai ketika mengikut wanita itu membasuh kain.
“Ibu memaklumkan dia panik kerana tidak tahu berenang.
“Nasibnya baik kerana tidak lama selepas itu, saya diapungkan oleh seekor buaya putih dipercayai bapa saudara sendiri,” katanya.
Jelasnya, dia yakin dan percaya buaya putih itu masih hidup dan mendiami Ulu Sungai Johor dan kini berusia sekitar 89 tahun.
Ishak yang kini menetap di Bandar Tenggara berkata, selain bercerita mengenai sejarah itu kepada anak cucunya, dia turut ‘membukukan’ kisah yang diketahuinya itu dalam buku notanya.
Katanya, dia tidak mahu kisah itu hanya dikenali sebagai mitos dalam kalangan generasi akan datang, sebaliknya mahu mereka tahu bahawa ia adalah cerita yang benar-benar terjadi.
Katanya, di samping mengekalkan sejarah berkenaan, pada masa sama ia dapat menarik pelancong luar datang ke kampung itu dan mengetahui lebih lanjut tentang legenda buaya putih yang begitu menarik untuk dikongsi bersama.















