PETALING JAYA – Penyanyi Kaka Azraff berasa terharu apabila graf kerjayanya sebagai pelakon disamakan dengan bintang pop antarabangsa, Lady Gaga.
Kaka atau nama lengkapnya, Nor Atiqa Noor Azraff, berkata, dia tidak pernah terfikir sampai ke tahap itu apatah lagi mengidamkan kilauan trofi dalam bidang lakonan yang masih berstatus ‘mentah’ buat dirinya.
“Berderau darah saya anda telefon saya cakap begitu! (ketawa). Saya memang peminat Lady Gaga dan disamakan dengannya, itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus berlakon lebih bagus selepas ini.
“Lady Gaga merupakan seorang artis yang sangat berkaliber dan penuh wawasan, baik dari segi muzik mahupun lakonan. Saya tahu kerjaya nyanyiannya bersinar dahulu sebelum dia tercalon dalam Academy Awards,” kata pelantun lagu Bukan Hal Aku itu.
Bergelar juara keseluruhan Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) menerusi karya Gila sekitar Mac lalu (kolaborasi dengan Noki K-Clique dan Loca B), Kaka menegaskan, dalam apa jua pekerjaan yang dilakukannya, tidak kira nyanyian mahupun lakonan, dia sentiasa optimis untuk melakukan yang terbaik.
“Menyanyi dan berlakon ada persamaaan. Apabila kita menjayakannya, kita perlu meletakkan emosi dan penghayatan penuh supaya yang cuba kita bawakan, sampai kepada sesiapa yang mendengar atau menonton.
“Saya tak pernah fikir untuk menggondol trofi Pelakon Wanita Terbaik tetapi kalau itu yang berlaku suatu hari nanti, saya anggap itu sebagai bonus dan rezeki. Yang paling penting dalam apa juga pekerjaan, saya ingin memberikan yang terbaik. Itu sahaja,” luah isteri kepada Adam Azriff itu.
Malam tadi, drama lakonan ibu kepada seorang cahaya mata itu, Pemuja Kubur mendapat pujian daripada orang ramai.

Terdahulu, Kaka, 32, turut mencuri tumpuan apabila muncul dalam telefilem khas berjudul Kampong Pisang Muzikal Raya Istimewa bergandingan dengan Datuk Awie.
Melencongkan perbandingan antara Kaka dan Gaga bukan atas dasar ejaan nama yang agak serupa, namun mengikut analogi peribadi, sebelum menyerlah dalam bidang lakonan, Lady Gaga terlebih dahulu mencipta fenomena dalam bidang muzik apabila menjadi antara artis paling laris global menerusi single debut, Just Dance.
Hanya selepas berlakon watak pontianak, The Countess dalam siri seram, American Horror Story 5, wanita itu mula mendapat perhatian apabila menggondol trofi Pelakon Wanita Terbaik di Golden Globe Awards.
Terselit sedikit persamaan di situ, kerjaya nyanyian Kaka Azraff bermula agak mendatar sebelum mencipta kejayaan besar apabila menjuari AJL35 menerusi lagu Gila.
Sejak itu, dia mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan menerusi telefilem, Kampong Pisang Muzikal Raya dan terbaharu, Pemuja Kubur.
Pemuja Kubur merupakan telefilem arahan sutradara Azmir Affandi manakala skrip oleh Srikandi Emma yang ditayangkan menerusi saluran Astro Citra malam tadi.
Selain Kaka, telefilem seram itu turut dibarisi oleh bintang hebat seperti Elly Suriaty Omar, Beto Kusyairy dan Aedy Ashraff. – K! ONLINE