BANGGA sebenarnya melihat pemain industri semakin terbuka untuk buang ego dan bersatu hati menerusi Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema) yang kini secara rasmi diiktiraf sebagai entiti induk mewakili 16 persatuan melibatkan penerbit, pengarah, pelakon, kru teknikal dan pemain industri seni kreatif lain.
Penulis percaya proses gabungan ini bukan mudah dilaksanakan kerana setiap persatuan ada kepentingan dan hala tuju masing-masing. Namun, atas dasar mahu memajukan industri perfileman dan kandungan tanah air serta memastikan kebajikan ahli terbela, mereka memilih bernaung bawah satu payung yang menjadi suara menyampaikan segala permasalahan dan hasrat kepada
Kementerian Komunikasi menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
Itu lebih efisien, duduk semeja membincangkan segala permasalahan dan sepakat mencari solusi dengan sokongan Finas kerana bidang kerja mereka saling berkait apabila berada dalam industri yang sama.
Bertemu orang kuat industri filem, Datuk Hans Isaac yang baru tiga bulan kembali ke Finas sebagai Pengerusi dan Datuk Azmir Saifuddin Mutalib (Ketua Pegawai Eksekutif) baru-baru ini, mereka menyambut baik misi yang diperjuangkan Gafema, malah gabungan itu secara tidak langsung memudahkan urusan Finas.
Jika sebelum ini setiap persatuan akan bersuara tetapi kini lebih sistematik apabila segala isu berbangkit akan diwakili Gafema untuk dibincangkan dengan Finas seterusnya dibawa ke kementerian.
“Soal takbir urus Gafema, Finas tidak akan campur tangan. Ibarat payung besar yang menaungi 16 persatuan termasuk Seniman, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM).
“Mereka akan berbincang sesama mereka termasuk siapa yang akan menerajui Gafema. Peranan Finas membantu mencari jalan penyelesaian setiap isu dan permasalahan membabitkan industri kreatif yang dibangkitkan Gafema termasuk soal kebajikan ahli.
“Selesai berbincang, Finas akan bawa terus kepada menteri untuk tindakan. Dengan cara ini urusan akan lebih cepat, sistematik dan memudahkan semua pihak.
“Isu bayaran misalnya, jika industri lain ada garis panduan mengenai gaji minumum, perkara ini juga boleh diperjuangkan Gafema. Setakat ini, garis panduan bayaran minuman untuk pekerja belakang tabir sudah dimulakan pihak Profima. Untuk bayaran minumun pelakon pula, Finas akan berbincang semula dengan Seniman untuk dapatkan update terkini.
“Begitu juga soal maksimum masa bekerja. Kita akan minta GAFEMA dapatkan persetujuan semua persatuan berkenaan gaji minima dan tempoh masa bekerja untuk buat satu panduan yang akan dimasukkan dalam SPP (Permohonan Surat Perakuan Penggambaran). Perkara ini tidak boleh dijadikan satu polisi sebaliknya satu garis panduan untuk menjaga hak dan kebajikan pekerja industri,” katanya.
Banyak lagi yang dikongsi Hans dan Azmir bagi membantu penggiat seni termasuklah perihal projek khas membabitkan golongan veteran sahaja. Itu akan penulis ulas dalam penulisan akan datang. Insya-Allah.














