fbpx

Produk PS 21 Capsule ada racun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Produk PS 21 Capsule yang dikesan mengandungi racun berjadual, simvastatin.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk tradisional PS 21 Capsule yang dikesan mengandungi racun berjadual, simvastatin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pendaftaran produk tersebut dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuarat ke-358 berikutan pengesanan racun berjadual simvastatin di dalamnya yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

“Simvastatin merupakan sejenis ubat yang digunakan untuk mengurangkan paras kolesterol dalam darah dan pengambilan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan.

“Kesan sampingan tersebut seperti gangguan pencernaan, rasa lemah, sakit kepala, gangguan pada fungsi normal hati, otot terasa sakit apabila disentuh atau lemah otot,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk adalah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Ujarnya lagi, bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, orang awam yang sedang menggunakan produk tersebut dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Katanya, maklumat status pendaftaran bagi sesuatu produk boleh dibuat dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/ atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI