MELAKA – Seorang pesara kerajaan rugi RM60,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwanya menjual vaksin Covid-19 di Labuan, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E.Sundra Rajan berkata, kejadian berlaku selepas mangsa lelaki yang berusia 60 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki pada Rabu lalu.
Katanya, suspek memperdayakan mangsa dengan mendakwanya terlibat dalam kes jenayah menjual vaksin Covid-19 di Labuan.
“Mangsa telah menafikan perkara tersebut, namun panggilan telah disambungkan kepada seorang perempuan yang menyamar sebagai Sarjan Farah Ajis daripada Ibu Pejabat Polis (IPD) Labuan.
“Wanita tersebut telah meminta mangsa untuk memasukkan wang simpanan ke dalam nombor akaun Maybank yang diberikan dengan alasan bagi tujuan siasatan kes tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jelas Sundra, mangsa yang tidak berasa curiga telah menuruti arahan tersebut dan memasukkan wang sebanyak RM60,000.
“Mangsa telah menceritakan kejadian tersebut kepada rakan-rakannya yang kemudian memaklumkan bahawa dia telah ditipu.
“Susulan itu, warga emas berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah, semalam,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Pihak polis ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan mencurigakan dan mengambil maklum bahawa sistem kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyambungkan panggilan kepada institusi yang lain dalam satu panggilan sama.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk memuatnaik aplikasi ‘semak mule ccid’ melalui playstore untuk membuat semakan terhadap nombor telefon dan nombor akaun bank sebelum membuat sebarang urusan,” katanya. – K! ONLINE














