IPOH – Cubaan lima lelaki warga Indonesia menggunakan dokumen rentas negeri palsu gagal, apabila mereka ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Ipoh-Selatan arah utara di sini, Isnin lalu.
Difahamkan, kesemua lelaki itu membeli dokumen tersebut dengan harga RM30 daripada rakan mereka iaitu seorang lelaki Bangladesh di Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, mereka ditahan semasa pemeriksaan ke atas sebuah bas persiaran dari Johor Bahru pada pukul 11.45 malam setelah mendapati dokumen yang dikemuakan adalah palsu.
Katanya, siasatan juga mendapati kelima-lima warga asing itu tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah.
“Mereka memberi alasan dalam perjalanan dari Sungai Rengit, Johor ke Kedah atas urusan kerja.
“Siasatan mendapati, borang itu dibeli dari rakan mereka yang merupakan lelaki warga Bangladesh berusia 35 tahun. Tangkapan telah dilakukan ke atas suspek oleh polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi,” katanya.
Menurut A. Asmadi, kes disiasat mengikut Seksyen 22(d) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (borang notis) 1993 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan beliau berkata, sebanyak 369 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Kinta sejak 22 Mei lalu hingga semalam.
Katanya, sebanyak 333 kompaun dikeluarkan ke atas individu manakala 21 kompaun terhadap premis dan 15 kompaun pula ketika pemeriksaan di SJR. – K! ONLINE














