fbpx

Lindungi kanak-kanak daripada Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Ibu bapa dan penjaga perlu mengambil tindakan proaktif untuk melindungi kanak-kanak supaya tidak terdedah kepada bahaya Covid-19, susulan peningkatan kes yang membimbangkan melibatkan mereka yang di bawah usia lima tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sememangnya khuatir dan bimbang mengenai situasi penularan kes dalam kalangan kanak-kanak terutama melibatkan bayi berusia kurang daripada satu tahun dan kanak-kanak bawah lima tahun.

“Ibu bapa berperanan sebagai pelindung kepada kanak-kanak. Mereka perlu mengambil tindakan proaktif untuk melindungi kanak-kanak agar tidak terdedah kepada bahaya Covid-19.

“Justeru, semua pihak terutamanya ibu bapa diseru untuk mengambil berat isu keselamatan dan kesihatan golongan kanak-kanak ini memandangkan mereka masih kecil dan sistem pertahanan tubuh mereka belum matang,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak cenderung untuk dijangkiti virus SARS-CoV-2 dan kumpulan itu juga belum termasuk dalam golongan usia yang layak menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Oleh itu, ibu bapa dan ahli masyarakat sekitar harus melindungi mereka dengan mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin. Melalui cara ini, persekitaran yang lebih selamat dapat sama-sama kita bina bagi kelestarian generasi masa hadapan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut berpesan kepada ibu bapa dan penjaga supaya memantau pergerakan anak-anak agar kekal berada di rumah dan tidak keluar berjumpa kawan atau mengunjungi jiran tetangga. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI