fbpx

Beberapa lokaliti, mukim dikenakan PKPD bermula Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Parit Buntar, Kerian, Perak selepas mukim itu mencatatkan 44 peratus daripada jumlah keseluruhan kes semasa di daerah Kerian.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, terdapat 82 kes positif Covid-19 telah direkodkan hasil daripada 623 ujian saringan yang telah dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kadar positiviti ialah 13.1 peratus.

“Atas nasihat KKM, pelaksanaan PKPD akan berkuat kuasa bermula 28 Mei sehingga 10 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu katanya, langkah sama turut dilaksanakan di dua pangsapuri di Cheras, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu di Pangsapuri Permai (semua blok) dan Pangsapuri Sri Penara (Blok C dan D).

“KKM mendapati berlaku peningkatan kes ketara dalam tempoh 10 hari apabila sebanyak 78 kes positif telah dikesan hasil daripada 101 ujian saringan dilakukan di Pangsapuri Permai.

“Di Pangsapuri Sri Penara pula, terdapat 111 kes positif Covid-19 selepas 123 orang penghuni disaring,” jelasnya.

Ismail Sabri memaklumkan, dua lagi lokaliti turut dikenakan PKPD di Pahang iaitu Taman Dato’ Tengku Paris dan Felda Tersang 1,2, & 3, Mukim Batu Talam, Raub Pahang.

“Sementara di Temerloh, dua mukim turut dikenakan PKPD selepas terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh 10 hari.

“Mukim yang terlibat ialah mukim Perak dan mukim Bangau, Temerloh, Pahang bermula 28 Mei hingga 10 Jun,” ujarnya.

Sementara itu di Sabah, empat perkampungan di daerah Kunak turut dikenakan PKPD iaitu Kampung Kabong, Kampung Kabong Baru, Kampung Kunak Darat, dan Kampung Kunak 3.

Di Kota Belud Sabah pula, PKPD turut dilaksanakan di Kampung Pirasan bermula 28 Mei hingga 10 Jun depan.

“Sementara di daerah Tawau, kerajaan turut melaksanakan PKPD di tiga lokaliti iaitu Kampung Sungai Pukul, Pulau Sebatik; Taman Desa Ranggu dan Taman Sawit Balung,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI