fbpx

[VIDEO] Ibu bapa positif Covid-19 terpaksa serah anak kepada jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video menunjukkan dua daripada kanak-kanak itu menangis apabila mereka ditinggalkan di luar rumah. - TikTok @Ramzi Yusof

PETALING JAYA – Satu klip video memaparkan pasangan suami isteri terpaksa meninggalkan tiga anak mereka di luar rumah untuk diambil jiran selepas disahkan positif Covid-19 mengundang simpati netizen.

Video yang berdurasi seminit yang dimuat naik semalam menerusi akaun TikTok milik Mohamad Ramzi Yusof itu menunjukkan dua daripada kanak-kanak tersebut menangis apabila mereka diletakkan di luar rumah.

“Kami dewasa seramai empat orang positif. Tiga anak negatif dan kami terpaksa tinggalkan mereka pada jiran sebelah.

“Dd, Unde, umi dan papa bukan menghalau tapi kami tidak mahu kamu dijangkiti. Kasihan si adik yang berusia 10 bulan kerana terpaksa diletak atas lantai,” katanya menerusi kapsyen video tersebut.

Seorang kanak-kanak yang lebih besar kelihatan memeluk dua biji bantal kecil dan adiknya kelihatan tidak berhenti menangis apabila ibu bapa mereka melambai dan mengucapkan selamat tinggal.

“Lepas tutup pintu hanya mampu tengok mereka dari dalam rumah kerana jiran sudah datang untuk mengambil mereka.

“Jiran kami sangat baik. Mereka cakap mereka tawakal untuk jaga anak-anak. Semoga Allah balas segala kebaikan mereka,” ujarnya.

Video itu mendapat tanda suka lebih 35,000 pengguna selain dibanjiri ribuan komen yang memberi kata-kata semangat dan mendoakan ibu bapa kanak-kanak tersebut cepat sembuh.

“Syukur ada jiran. Saya ahli keluarga sendiri pun tolak untuk jaga. Patah hati,” komen seorang pengguna TikTok.

“Alhamdulillah Allah hantar orang yang baik untuk awak. Baik betul hati jiran sanggup ambil risiko walaupun bukan darah daging,” ujar @Someone’s wife

“Menangis saya dibuatnya. Semoga keluarga awak cepat sihat. Semoga anak-anak semua kekal negatif Covid-19 sampai bila-bila,” ucap pengguna bernama @kakmighaaa.

“Jangan risau semoga cepat sembuh kami kawan-kawan TikTok akan doakan untuk anak-anak jangan menangis kakak,” tulis pemilik akaun bernama @Yaleswari. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI