fbpx

Nestle amal budaya kerja masa depan di pejabat baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ruang dalaman unik dan kreatif di pejabat baharu Nestle di 1 Powerhouse, Bandar Utama.

PETALING JAYA – Nestlé (Malaysia) Bhd. (Nestle) telah berpindah ke ibu pejabat korporat baharunya di 1 Powerhouse, Bandar Utama dari lokasi sebelum iaitu di Surian Tower, Mu­tiara Damansara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, tujuan perpindahan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kumpulan untuk melangkah ke arah budaya kerja masa depan menerusi reka bentuk tempat kerja dengan tujuan khusus dan turut menerapkan persekitaran selamat daripada pandemik Co­vid-19.

Menurutnya, pejabat dua tingkat baharu yang meliputi kawasan seluas 73,000 kaki persegi (6,698 meter persegi) itu direka untuk menggalakkan tahap ke­telusan dan keterlibatan lebih tinggi, menggalakkan komunikasi dan kerjasama antara bahagian serta memenuhi permintaan tempat kerja yang fleksibel.

“Langkah ini mencerminkan usaha Kumpulan untuk terus berkembang dan menyesuaikan kakitangan bekerja dalam persekitaran lebih fleksibel dan keperluan mewujudkan keseimbangan antara kehidupan peri­badi dan tuntutan kerja.

“Kami telah menerapkan prinsip bekerja dalam kaedah hibrid dan disesuaikan dalam reka bentuk ruang kerja yang serba mo­den, berfungsi, mudah disesuaikan dan juga pintar.

“Suasana ini akan meningkatkan kerjasama dan kesalinghubungan antara anggota pasukan di semua jabatan, lantas mewujudkan persekitaran yang mendorong pemikiran inovatif serta kreati­f di seluruh orga­nisasi,” kata­nya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

 

Aranols menerangkan, peja­bat baharu Nestle yang berkonsepkan ruang terbuka itu menawarkan sistem meja kongsian yang digunakan untuk menyediakan susun atur tempat duduk yang fleksibel.

Reka bentuk ergonomi juga diterapkan dengan meja yang boleh disesuaikan ketinggiannya dan tangga yang menghubungkan dua aras untuk menggalakkan kakitangan kekal aktif dan cergas.

Selain itu, pejabat tersebut turut menempatkan taman bumbung berteres, ruang perbinca­ngan berasingan dengan sudut kopi bagi memudahkan kakitangan menjamu selera dalam suasana santai dan merihatkan minda.

Pejabat berkenaan turut dilengkapi dengan studio kan­dungan canggih dengan skrin hijau untuk penciptaan kandungan secara dalaman.

“Lebih penting, reka bentuk tempat kerja baharu ini mematuhi prosedur operasi standard Covid-19, bagi memastikan kakitangan kekal selamat sambil mematuhi sepenuhnya garis panduan kerajaan di bawah PKP 3.0,” tambah beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI