fbpx

Aktiviti melancong di Genting Highlands patuh SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengesahkan aktiviti pelancongan membabitkan sekumpulan pelancong dari Alor Setar, Kedah ke Genting Highlands, Pahang pada 22 April lalu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukry berkata, siasatan awal mendapati, kumpulan itu mematuhi gelembung pergerakan pelancongan bersasar domestik ditetapkan kementerian.

Beliau berkata, hasil maklumat yang diperoleh, rombongan disertai 28 pelancong itu dikendalikan sebuah syarikat pelancongan yang berdaftar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Sebanyak dua buah bas digunakan pada 22 April lalu untuk ke lokasi dan pulang pada 24 April lalu.

“Selepas kembali dari Genting Highlands terdapat penumpang yang mengalami gejala demam dan telah membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan.

“Pada 7 Mei lalu, seramai 16 individu disahkan positif daripada saringan yang dilakukan ke atas kumpulan pelancong tersebut,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, sumber asal kontak Covid-19 yang berkaitan dengan kes berkenaan masih belum dapat dikenal pasti dan pihak Kementerian Kesihatan sedang menjalankan proses siasatan.

Sementara itu, Nancy mengingatkan semua agensi pengendali pelancong serta kenderaan pelancongan agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan ketika mengendalikan aktiviti pelancongan.

“Orang ramai juga diingatkan supaya hanya menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan dan syarikat kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC sahaja bagi memastikan perkhidmatan yang diperoleh adalah yang terbaik dan selamat.

“Buat masa ini, gelembung pergerakan pelancongan bersasar domestik digantung buat sementara bermula 4 Mei lalu sehingga dimaklumkan kelak.

“Kami berharap agar penjelasan ini dapat mengelakkan kekeliruan dan spekulasi yang
tidak benar berhubung insiden tersebut,” katanya.

Katanya, beliau juga berharap insiden itu tidak akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan dalam sebarang aktiviti pelancongan dalam negara.

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah memaklumkan seramai 16 individu disahkan positif Covid-19 selepas ujian dilakukan ke atas 28 pelancong.

Berita mengenai perkara itu dipaparkan sebuah akhbar bertajuk ‘Pelancong positif Covid-19 selepas pulang dari Genting Highlands’.  -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI