fbpx

Tiada lagi harapan untuk pulang beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SHAZWAN YUSOP, WARTAWAN EKSEKUTIF

HARI RAYA Aidilfitri yang bakal diraikan esok pas­tinya disambut dengan penuh kesederhanaan dan rasa rendah diri oleh seluruh umat Islam di negara ini.

Hal ini memandangkan negara masih berperang dengan Co­vid-19 dengan peningkatan kes jangkitan saban hari dan angka kematian yang membimbangkan.

Rentetan itu, kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dengan aktiviti rentas daerah dan negeri terhad kepada tujuan tertentu sahaja.

Perintah yang bermula pada Isnin lalu hingga 6 Jun itu diambil dalam usaha memutuskan rantaian dan mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat terutamanya semasa musim perayaan.

Tahun ini merupakan kali ke­dua umat Islam di Malaysia meraikan Aidilfitri tanpa pulang ke kampung menziarahi ibu bapa dan ahli keluarga.

Tinjauan penulis di dalam beberapa laman sosial mendapati rata-rata netizen meluahkan rasa marah dan tidak puas hati kerana tidak dapat beraya di kampung.

Situasi ini berbeza dengan tahun lalu apabila rakyat negara ini seakan reda tidak dapat pulang beraya di kampung, malah pujian diberikan kepada kerajaan dalam memerangi Covid-19.

Pakar psikologi pekerjaan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mohd. Awang Idris berkata, kemarahan itu tercetus ekoran pengharapan masyarakat sudah berakhir.

“Secara psikologinya, manusia akan mula menunjukkan kemarahan apabila sesuatu yang diharap­kan tidak dapat ditunaikan oleh pihak tertentu. Dalam konteks ini adalah kebenaran pulang beraya di kampung.

“Pada tahun lalu, rakyat mungkin masih boleh terima hakikat kerana mereka berharap dapat beraya di kampung pada tahun ini, namun malangnya harapan itu hancur berkecai,” katanya.

Beliau berkata, ia diburukkan lagi dengan budaya dan tradisi umat Islam di negara ini yang mementingkan ikatan silaturahim terutamanya ketika Syawal.

“Sejak berzaman lagi, apabila tiba hari raya, semua orang akan berkumpul. Jadi, apabila tidak dapat berbuat demikian, ia me­ngundang kepada kemarahan,” tegasnya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad berkata, aktiviti ziarah-menziarahi ketika Syawal merupakan perkara sunat.

Beliau memberitahu, masyarakat seharusnya mengutamakan kepentingan kesihatan dan kemaslahatan sejagat berbanding perkara sunat semasa negara berdepan pandemik ­Co­vid-19.

“Hari raya ini merupakan detik bagi umat Islam bergembira bagi meraikan kejayaan selepas ber­puasa, beribadah dan bersedekah sepanjang Ramadan.

“Aktiviti pulang ke kampung bagi meraikan hari raya bersama ahli keluarga bukanlah keutamaan, sebaliknya ia merupakan perkara sunat yang dianjurkan oleh Islam,” katanya.

Ujar Dr. Khairul, dengan ada teknologi, umat Islam masih berpeluang mengeratkan silaturahim ketika pandemik menerusi perbualan atau panggilan suara atau video.

Jelas beliau, segalanya boleh dilakukan menerusi teknologi sama ada ingin memohon kemaafan, memberi duit raya, menghantar hadiah atau bertukar-tukar juadah.

“Saya rasa tiada salahnya kita memanfaatkan teknologi pada ketika ini.

“Mungkin kemeriahan hari raya agak kurang, namun itu sahaja pilihan yang kita pada musim pandemik ini,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI