KLUANG – Kejadian sebuah lori yang terbabas sebelum merempuh kediaman sebuah keluarga di Kampung Sri Lukut di sini kelmarin bukanlah yang pertama kali berlaku, sebaliknya ia merupakan kejadian ketiga yang menimpa rumah tersebut.
Fazli Hamsan, 43, berkata, kejadian yang berlaku kelmarin melibatkan sebuah lori lima tan yang merempuh dinding rumahnya sehingga menyebabkan sebahagian daripada struktur berkenaan runtuh.
Katanya, kejadian berlaku ketika semua ahli keluarga tiada di rumah kerana keluar bekerja dan mereka hanya mengetahuinya selepas dihubungi oleh jiran.
“Saya tidak tahu macam mana lori itu boleh terbabas sehingga melanggar rumah kerana kedudukan rumah kami agak jauh dari tepi jalan utama antara Kluang ke Mersing.
“Apa yang saya tahu, bahagian hadapan lori sudah melekat pada dinding menyebabkannya runtuh. Secara kebetulan tiada penghuni di dalamnya,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut Fazli lagi, sejak menghuni rumah itu lebih lima tahun lalu, pernah berlaku kejadian tayar sebuah lori tertanggal sebelum bergolek ke halaman rumahnya dan melanggar kereta yang di parkir di hadapan pintu.
Katanya, kejadian kedua pula berlaku kira-kira dua tahun lalu apabila sebuah kereta hilang kawalan sebelum terbabas ke halaman rumah, namun tiada sebarang kecederaan apabila semua ahli keluarga berada di luar.
“Kami amat bersyukur kerana semua kejadian tidak melibatkan sebarang mangsa, namun berharap ada satu tindakan dilakukan seperti memasang penghadang jalan berikutan kedudukan beberapa rumah yang kebetulan berada di satu kawasan agak curam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh mengesahkan kejadian berlaku di Kilometer 99 Jalan Batu Pahat-Mersing di Kampung Sri Lukut, pada pukul 8.20 pagi semalam.
Katanya, kejadian tidak melibatkan mangsa, manakala ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori lima ton itu negatif daripada pengaruh dadah.














