fbpx

Lebaran terpilu tiga seniwati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIGA seniwati, Norlia Ghani, Fauziah Nawi dan Wan Maimunah.

PADA rembang petang Isnin tempoh hari, penulis memandu sendiri ke Ijok, Batu Arang, Kuala Selangor menuju ke ke lokasi yang dinyatakan wanita separuh abad, Wan Maimunah .

Tujuannya satu, iaitu untuk menggabungkan insan ternama itu dengan dua pemain seni hebat, Fauziah Nawi dan Norlia Ghani dalam satu sesi fotografi istimewa bersempena Aidilfitri di studio Media Mulia Petaling Jaya.

MELEPASI usia separud abad dengan jutaan memori yang masih basah dalam ingatan membuatkan Wan Maimumah, Fauziah dan Norlia sangat menghargai kehidupannya. – MOHD. IQBAL ROSLI

Raya dengan anak angkat

Selepas berpandukan alamat yang ditinggalkan pemilik nama sebenar, Wan Maimunah Wan Abdul itu menerusi WhatsApp, satu jam kemudian kami bersua muka.

“Cepatnya sampai! Jenuh ibu tunggu,” katanya tersenyum berselindung sinikal seraya mencapai pintu kereta kemudian mengisi tempat duduk penumpang hadapan.

Sewaktu dalam perjalanan ke Petaling Jaya, Wan Maimunah yang selesa membahasakan dirinya sebagai ‘ibu’ berceloteh perihal kelesuan sambutan hari raya ‘edisi’ kali ini yang masih terhimpit Covid-19, juadah raya kegemaran dan keberadaannya bersama dengan anak-anak angkat sebaik tiba bulan mulia ini.

Kata dramatis itu, seperti tahun-tahun sebelumnya, dia akan menyambut hari raya bersana anak-anak angkatnya. Tinggal lagi, ekoran sekatan pergerakan, tidak banyak rumah anak angkat yang boleh diziarahi.

“Tidak boleh buat apa tahun ini. Duduk rumah sahaja. Takut kalau keluar rumah karang macam-macam penyakit boleh kena. Dengan Covid-19 yang entah bila nak habis, ibu pun tak tahu apa nak dijangka,” katanya.

WAN MAIMUNAH lebih senang menyambut Aidilfitri bersama anak angkatnya.

Ditebak pertanyaan tentang dua anak kandungnya, Wan Maimunah berkata, walaupun tidak dapat berjumpa, doanya sentiasa mengiringi permata hatinya.

“Apa yang boleh saya kongsikan, dua anak saya berada di Damansara. Mereka tetap menghubungi saya tetapi saya tak kisah kalau tidak beraya bersama. Mereka sudah besar panjang. Pandai-pandailah mereka cari saya.

“Saya lebih seronok menghabiskan masa dengan anak-anak angkat. Kalau tanya saya, sebelum kekacauan (Covid-19) ini berlaku, saya akan berkunjung atau menziarahi rumah anak-anak angkat saya.

“Saya tiada masalah dengan anak-anak kandung saya.

“Mereka akan telefon saya dan di situ, saya sudah sangat menghargainya. Anak-anak angkat pun saya sudah anggap seperti anak yang dilahirkan dari rahim sendiri,” ujar Wan Maimunah, 64.

TAHUN ini, masuk kali kedua Fauziah beraya tanpa kelibat anak sulungnya, Pitt yang meninggal dunia pada 2019.

Rindu tanpa penghujung

Buat seniwati Fauziah Nawi, 68, pula, sambutan Aidilfitri yang bakal diraikan esok hari bagaikan hilang seri dalam hidupnya.

Peristiwa menyayat hati yang meragut nyawa anak lelakinya yang juga pengarah, Pitt Hanif setahun lalu masih segar dalam ingatan. Tragedi tersebut tidak mungkin pudar, jauh lagi terpadam dalam ingatan.

Biarpun sudah agak lama anak sulungnya itu meninggal dunia, namun dia tetap berasakan seolah-olah Pitt masih hidup.

Buktinya, setiap hari menerusi laman sosial Instagram, Fauziah tidak jemu-jemu mengemas kini status dan memuat naik hantaran mengenai Pitt yang dirindui hingga ada mulut-mulut melabelkannya sebagai tidak menerima takdir Allah.

“Orang mungkin boleh cakap apa saja. Saya ada sebab tersendiri. Tetapi saya tidak akan memberitahu. Biarlah hanya saya seorang yang tahu dan simpan.

“Terpulanglah apa orang nak cakap, saya tak boleh terima hakikat ke atau tak boleh terima qada dan takdir, terserah. Apa yang saya tahu, arwah tetap anak saya sampailah bila-bila,” katanya.

Bagi Fauziah, biar apa pun orang nak labelkannya, dia tidak kisah dengan semua itu kerana yang melalui dan menanggungnya adalah dirinya sendiri.

Perihal sambutan Aidilfitri tahun ini, Fauziah memberitahu, selepas pemergian anak sulungnya itu, sambutan hari raya hanya disambut secara sederhana tanpa sebarang majlis keraian.

“Apa yang penting pada pagi Syawal, saya, anak-anak, menantu dan cucu akan menunaikan solat sunat Aidilfitri secara bersama terlebih dahulu.

“Norma baharu sekarang ini pun membataskan kita untuk pergi menziarahi saudara-mara yang lebih jauh. Cukuplah bersederhana sahaja,” tuturnya menyambut perayaan bersama keluarga di kediamannya sendiri di Taman Melati, Kuala Lumpur.

MENJELANG sambutan 1 Syawal (esok), Norlia wajib menyediakan juadah kegemaran anak-anaknya seperti rendang dan kari ayam.

Norlia rindu nak jumpa kakak

Cerita raya pemilik nama pentas Norlia Ghani pula berbeza. Meniti usia emas pada umur 72 tahun, pelakon yang sinonim dengan karakter Joyah itu lebih mengutamakan keperluan raya cucu-cucu, berbanding diri sendiri.

Kata pelakon yang mesra disapa mama itu, dia tidaklah sampai memewah-mewahkan cucu-cucu kesayangannya, namun cukup sekadar membelikan sehelai dua pakaian baharu sebagai tanda kasih kepada mereka.

“Sambutan raya mama tidaklah terlalu berat. Pada usia sekarang mama lebih pentingkan cucu. Kasihan pada mereka. Sekurang-kurangnya mama belikan baju baharu sehelai dua untuk mereka.

“Kalau dahulu mama pentingkan anak-anak. Sekarang cucu pula,” ujar ibu kepada pelakon, Rusdi Ramli itu.

Mengakui sambutan Aidilfitri sudah tidak semeriah sebelumnya, Norlia akur dengan situasi semasa yang membataskan pergerakan orang ramai untuk bertandang dan menziarahi saudara-mara.

Jauh dalam lubuk hati, Norlia tidak dapat menahan kesedihan dan kerinduan menebal buat kakak sulungnya yang kini semakin uzur di Klang, Selangor.

Ujar Norlia, dia sudah lama tidak berjumpa dengan kakaknya yang kini hampir memasuki usia 80 tahun dan kurang sihat.

“Mama ada seorang kakak yang tinggal di Klang. Agak sedih juga sebab kakak semakin uzur. Sebenarnya mama terkilan bila raya nanti tak dapat berjumpa dengan kakak kerana orang ramai tidak benarkan untuk merentas daerah.

“Bila dengar dia sakit, memang mama susah hati dan sedih,” katanya.

Mengimbas memori lama, Norlia berkata setibanya sambutan Hari Raya Aidilfitri, sudah menjadi tradisi keluarganya untuk berkumpul di rumah pusaka peninggalan ibunya di Greenwood, Gombak.

“Apabila ibu sudah tiada, kami akan berkumpul di rumah adik-beradik yang paling tua, iaitu kakak saya di Klang.

“Tapi nampaknya impian saya untuk beraya bersama kakak terpaksa disimpan kerana larangan rentas daerah,” tutur Norlia sebak.

Namun, kata pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Kanchan Tirana arahan Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1969 itu, biarpun negara berdepan dengan pandemik Covid-19, sambutan raya tetap perlu diraikan selepas sebulan umat Islam berpuasa.

Biarpun secara sederhana, Norlia tetap akan menyajikan hidangan istimewa di pagi Syawal sekadar yang termampu sahaja untuk anak-anak dan cucu yang ada di sekitar Kuala Lumpur.

“Kalau dahulu setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, mama akan menganyam sendiri ketupat. Tetapi sekarang semua dah mudah guna ketupat segera. Lagi pula susah nak cari daun kelapa sekarang.

“Untuk menu hari raya, mama akan masak makanan yang anak mama suka sahaja.

“Anak-anak yang lain suka makan rendang kecuali Rusdi sebab dia lebih suka kari ayam. Jadi pagi raya mama mesti kena sediakan kari untuk dia (Rusdi),” kata pelakon yang memiliki empat cahaya mata dan tujuh orang cucu itu.

MUDAH mengalirkan apa sahaja emosi dalam karakter lakonan, tiga wanita legenda dalam dunia hiburan tanah air ini juga seperti wanita seusianya yang lain, mereka punya cerita keluarga dan hasrat yang terkekang oleh keadaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI