fbpx

Jambatan Compact Bailey 100 permudah hubungan lalun penduduk kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL SABRI (tengah) merasmikan Jambatan Compact Bailey 100 Kampung Sungai Putat, Jerantut baru-baru ini.

JERANTUT – Tindakan segera dan proaktif Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membantu penduduk Kampung Sungai Putat di sini dengan membina Jambatan Compact Bailey 100 telah memberikan kelegaan kepada penduduk di kampung itu dan kampung berhampiran.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jambatan sepanjang 24 meter dengan lebar lima meter itu hanya mengambil masa 17 jam untuk disiapkan pada 28 April lalu oleh Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan RAJD 3 Divisyen.

“Pemasangan Jambatan Compact Bailey 100 ini adalah salah satu usaha ATM dalam membantu memulihkan laluan perhubungan penduduk Kampung Sungai Putat, Kampung Doja dan Kampung Sungai Yap yang terjejas akibat kerosakan teruk jambatan asal Sungai Beletir ekoran musim tengkujuh yang melanda pada awal tahun ini.

“Pembinaan jambatan akan membantu menghubungkan semula jalan utama dengan penduduk kampung-kampung terbabit bagi menghantar anak-anak ke sekolah di Felda Padang Piol dan juga hasil sawit serta getah ke tempat pengumpulan di bandar Jerantut,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian laluan Jambatan Compact Bailey 100 Kampung Sungai Putat di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan, Datuk Ruji Ubi; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Jurutera, Mejar Jeneral Datuk Ir. Chapiti Redzwan.

Menurut Ismail Sabri, jambatan ini dipasang sebagai jambatan sementara dan akan dibuka semula selepas jambatan kekal siap dibina oleh pihak Jabatan Kerja Raya bagi membantu menghubungkan jalan perhubungan yang putus.

Katanya, kerja-kerja pemasangan jambatan ini melibatkan dua pegawai dan 58 anggota RAJD dan Skuadron ke-9 RAJD dan Skuadron ke-11 RAJD dengan kerjasama JKR dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dikordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Dalam pada itu beliau memberitahu, sebelum ini pihaknya telah berjaya melaksanakan pemasangan jambatan yang sama di Kampung Lechar, Ulu Dong Raub dan di Kampung Belimbing Maran.

“ATM akan sentiasa bersiap sedia membantu pihak berkuasa awam dan akan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan di seluruh negara sebagai salah satu daripada Military Operation Other Than War (MOOTW).

“Usaha ATM ini juga adalah sebahagian daripada implementasi Pelan Strategik Kementerian Pertahanan iaitu Usaha Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera demi Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

Sementara itu, beliau berkata, pada tahun ini pihak ATM telah membina empat jambatan Compact Bailey 100 di seluruh negara dalam usaha membantu penduduk yang terputus hubungan.

Ujarnya empat lokasi pembinaan jambatan Compact Bailey 100 ialah di Raub, Pekan, Jerantut di Pahang dan di Grik, Perak.

Sementara itu, tinjauan dalam kalangan penduduk kampung menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada ATM dan juga Kementerian Pertahanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Sg. Putat, Mohamad Saidi Din berkata, pembinaan jambatan berkenaan memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 penduduk Kampung Sg. Putat dan kampung-kampung berhampiran.

Beliau memberitahu, jambatan lama yang telah baik pulih pada 2014 tidak bertahan memandangkan ia menghadapi hakisan yang teruk di bahagian bawah menyebabkan tiangnya bergantung dan membahayakan pengguna.

“Laluan alternatif melalui Kampung Paya Belawan dan keluar ke Kampung Gajah Mati pula bukan sahaja jauh tetapi juga sunyi melalui kawasan ladang sawit dan hutan menyebabkan penduduk kampung terutamanya wanita berasa takut sebab itulah penduduk buat jambatan daripada pokok kelapa.

“Saya syukur sangat kerajaan buat jambatan Bailey ini yang menyenangkan urusan penduduk dan saya mewakili pihak penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat dan kalau boleh percepatkan juga pembinaan jambatan kekal,”katanya

Dalam pada itu, seorang penduduk Rahimah Mohamad,44, berkata, pembinaan jambatan baharu itu melegakan mereka yang dapat melakukan urusan harian khususnya bagi menghantar anak-anak ke sekolah.

Ibu tunggal yang mempunyai empat anak itu berkata, ia juga sekali gus dapat menjimatkan kos perbelanjaan minyak kenderaan untuk mereka berulang alik sama ada ke sekolah atau menjual hasil pertanian.

“Dengan ada jambatan ini ia memudahkan kami dan menjimatkan perbelanjaan kerana saya sendiri terpaksa berulang alik dua kali sehari ke sekolah untuk menghantar anak pada waktu pagi dan petang untuk kelas Fardhu Ain,”katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk Nurshahira Abdullah,23, berkata, pembinaan jambatan itu memberikan kelegaan kepadanya yang sebelum ini terpaksa menggunakan laluan yang jauh dan sunyi.

Katanya, pembinaan segera yang dilakukan itu memberi manfaat besar dalam mengurangkan risiko penggunaan jambatan daripada batang pokok kelapa yang dibina penduduk.

“Sebelum ini saya berasa takut setiap kali berulang alik untuk urusan harian kerana jalan alternatif yang ada begitu sunyi dan tiada penduduk kampung, jadi terima kasih kepada kerajaan”ujarnya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI