PETALING JAYA – Di kala rakan-rakan lain bergembira menyambut 1 Syawal bersama keluarga, nasib berbeza bagaimanapun dilalui segelintir mahasiswa yang terpaksa meraikan Aidilfitri di universiti masing-masing.
Menurut mereka, keputusan untuk tidak pulang ke kampung adalah pilihan terbaik sekali pun kebenaran untuk pulang telah diberikan kerajaan.
Untuk rekod, dianggarkan seramai 70,000 pelajar universiti seluruh negara mula pulang ke kampung sejak kelmarin, namun masih ada yang ‘terkandas’ dan kekal menyambut Aidilfitri di kampus masing-masing.
Di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, pelajar dari Tawau, Sabah, Esnita Sonie, 27, mengakui, keputusannya untuk tidak pulang ke kampung memang sudah dijangka memandangkan kes positif Covid-19 menunjukkan trend meningkat sejak sebulan lalu.

“Perasaan dan semangat untuk sambut raya seperti sudah tiada dan sambutan hanya atas nama. Saya kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku sehingga menyekat penyatuan keluarga pada hari mulia.
“Saya hanya mampu berhubung menerusi panggilan video dan menatap gambar ibu ayah di pagi raya. Itu sahaja cara untuk melepaskan rindu kepada mereka,” kata pelajar Sarjana Sastera (Arkeologi) itu.
Esnita memberitahu, dia sememangnya sangat merindui amalan bergotong-royong ketika menyediakan juadah serta mengemas rumah di malam raya.
“Situasi kali ini sangat kritikal dan saya tetap mengambil keputusan untuk tidak pulang sebagai langkah keselamatan bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak tersebut,” jelas.
Di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, beberapa pelajar mengakui terpaksa menahan sedih apabila melihat individu lain menyambut hari raya bersama keluarga tercinta.
Penuntut tahun akhir Sarjana Muda Kesenian Melayu, Anjasmira Ayunie Abdul Muttalib, 23, berkata, dia berasa sedikit terkilan kerana tidak dapat bersama-sama keluarga pada hari raya kali ini, namun terpaksa akur dengan keadaan semasa Covid-19.
“Saat paling sedih apabila melihat wajah kedua ibu bapa menerusi panggilan video.
“Mereka sentiasa berikan semangat untuk saya terus kuat dan saya juga harap ibu bapa serta adik beradik lain tabah dengan dugaan ini,” kata pelajar kelahiran Ipoh, Perak itu.
Pelajar jurusan Syariah (Astronomi Islam), Nur Aidah Yakub, 21, pula berkata, kali terakhir dia bertemu keluarga di Sabah adalah pada bulan Oktober tahun lalu.
“Perasaan sedih itu memang ada kerana tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga, namun saya harus kuat dalam mengorbankan perasaan sedih itu demi cita-cita.
“Ibu bapa ada memberi pesanan supaya mengorbankan sedikit kegembiraan untuk berjaya dan setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya,” jelasnya.

Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pelajar jurusan Psikologi dan Pembangunan Sumber Manusia, Muhammad Ridzwan Mohd. Khozam, 23, berkata, beraya di perantauan tetap meriah dan menjanjikan satu pengalaman manis, sekali pun suasananya tidak sama seperti di kampung.
“Saya berasal dari Baling, Kedah dan ini tahun kedua saya beraya di kampus. Kali pertama raya di perantauan sebelum ini memang agak sedih terutama ketika dengar takbir raya, tetapi kali ini saya lebih kuat,” katanya.
Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sekumpulan pelajar di universiti berkenaan rela meraikan Aidilfitri di kampus bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar.
“Kami perlu menguruskan ketibaan pelajar kumpulan ketiga yang dijadualkan kembali ke kampus pada 16 dan 17 Mei yang jatuh pada hari raya keempat serta kelima,” kata Eksekutif Akademik Penyelidikan dan Inovasi, Majlis Eksekutif Pelajar, Kolej Dato’ Onn UKM, Muhammad Adhwa’ Hazziq Arsad.














