fbpx

Cahaya temukan Ezad, Bobby D, Red

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAGU Cahaya mempertemukan Ezad bersama dua penyanyi rap muda iaitu Bobby D (kanan) dan Red Rahimad.

NAMA Ezad Lazim tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat muzik tempatan kerana lelaki itu masih kekal utuh selaku salah seorang penyanyi solo relevan sehingga ke hari ini.

Selepas meninggalkan Exist pada 2007, Ezad yang bergerak solo membina jenama sendiri dan kebanyakan lagu nyanyiannya diterima baik oleh peminat.

Selain memperjuangkan lagu solo berentak badala, penyanyi berusia 42 tahun itu pernah menjalin kerjasama dengan beberapa rapper iaitu RJ menerusi lagu Hati Mati dan Cinta Terakhir bersama Waris pada 2015.

Terbaharu, penyanyi bersuara lunak itu muncul dengan single bergenre hip hop berkonsepkan ketuhanan menampilkan jalinan kolaborasinya bersama dua rapper muda iaitu Bobby D dan Red Rahimad.

Menerusi lagu diberi judul Cahaya, Ezad menyifatkan kerjasama yang terjalin antara mereka sebagai sesuatu yang menarik selain dapat menimba pengalaman baharu apabila bekerja dengan orang muda.

“Sebenarnya, mereka berdua yang mempelawa saya untuk terbabit dalam projek ini. Walaupun kerjasama ini dipersetujui dalam tempoh singkat, tetapi saya okey sahaja sebab lagu ini cukup menarik perhatian.

“Tambahan pula, nuansa hip hop merupakan genre muzik yang jarang saya berpeluang nyanyikan selama bergelar penyanyi,” katanya.

EZAD menyifatkan Cahaya sebagai peluang dirinya mendekati generasi baharu.

Tambah pelantun lagu Kuasa Cinta itu lagi, dia mahu keluar dari zon selesa apabila menerima tawaran projek tersebut memandangkan lagu Cahaya berkonsepkan ketuhanan.

“Bagi saya, tidak salah untuk mencuba sesuatu yang berbeza. Memandangkan lagu ini pun dilancarkan pada bulan Ramadan, jadi konsepnya sangat kena dengan situasi semasa.

“Cahaya berkisar tentang kisah bagaimana seseorang yang sebelum ini jahat, kemudian mendapat hidayah untuk berubah dan minta pengampunan atas segala dosa yang pernah dilakukannya,” ujarnya yang menyifatkan kerjasama tersebut sebagai peluang untuknya mendekati generasi baharu.

Penghormatan

Sementara itu bagi Bobby D atau nama sebenarnya Muhammad Sharif Sharol, 24, penyatuan bersama Ezad dianggap sebagai satu penghormatan buat artis baharu sepertinya.

“Tidak dinafikan, kami memang terkejut dan teruja sebab dapat bekerjasama dengan seorang legenda seperti Ezad. Bahkan lagu ini pun merupakan genre yang tidak pernah kami bawakan iaitu konsep ketuhanan.

“Keunikan yang ada pada single ini terletak pada auranya yang diinspirasikan daripada lagu Alhamdulillah. Ezad menyampaikan bahagian korus dengan cara tersendiri kerana vokalnya tidak perlu dipertikaikan lagi,” katanya.

Lagu Cahaya yang dicipta sepenuhnya oleh Red sudah pun tersedia dalam platform YouTube sejak 20 April lalu.

LAGU ketuhanan Cahaya sudah dilancarkan secara rasmi menerusi YouTube sejak 20 April lalu.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI