fbpx

JKKP Perak siasat pekerja pembersihan maut tersepit lori sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Besi peranti pengangkat tong sampah yang menghimpit kepala mangsa hingga parah dan maut dalam kejadian di Taman Victoria di Ipoh kelmarin.-IHSAN JKKP

IPOH – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak menjalankan siasatan terhadap insiden seorang pekerja pembersihan yang maut selepas kepalanya tersepit pada besi peranti pengangkat tong sampah di Taman Victoria di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 10.45 pagi itu, A. Ganesan, 54, cedera parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 4 petang.

Pengarah JKKP Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, insiden itu berlaku ketika lelaki warga tempatan itu sedang melakukan kerja-kerja memungut sampah menggunakan lori di kawasan berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati, mangsa yang ketika itu berdiri di belakang sebelah kiri lori cuba mengalihkan kayu tersangkut di pintu besi peranti yang telah menghalang proses memampat muatan sampah.

“Bagaimanapun, tangan kiri mangsa tertarik alat kawalan sistem hidraulik besi peranti pengangkat tong sampah itu yang menyebabkan ia terangkat lalu menghimpit kepala mangsa.

“Mangsa cedera parah selepas kepalanya terhimpit antara besi tersebut dan bahagian tepi struktur belakang lori sampah tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, pihaknya telah mengarahkan majikan untuk mengambil tindakan serta-merta bagi menyemak dan menambahbaik prosedur kerja selamat sedia ada serta latihan yang diperlukan kepada pekerja yang terdedah kepada risiko semasa mengendalikan lori sampah.

Katanya, tindakan perundangan akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI