fbpx
Dua tahun Aidilfitri disambut tanpa balik kampung. - Gambar hiasan

Cipta keceriaan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
ZULKIFLI MANZOR,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Teori pengurusan manusia ada menyatakan tentang aspek ‘penentangan terhadap perubahan’.

Ia mengenai keengganan seseorang manusia menyesuaikan diri dengan keadaan yang telah berubah.

Sukar mengenepikan amalan lama bagi memenuhi kehendak baharu kerana telah berasa selesa dengannya.

Teori ini tidak keterlaluan jika dikaitkan dengan penolakan norma baharu dalam sambutan Aidilfitri.

Banyak rungutan kita dengari secara verbal mahupun melalui pembacaan di media sosial ke­belakangan ini.

Semuanya gara-gara tidak dapat menjalani norma biasa dalam me­nyam­but perayaan tersebut sejak tahun lalu, selain tidak dapat pulang ke kampung bertemu ahli keluarga dan sanak saudara serta menikmati juadah beramai-ramai.

Malah, ada merintih sudah lama tidak bertemu ibu bapa sebab larangan merentas negeri atau daerah.

Bagaimanapun, maksud bertemu ibu bapa agak subjektif di zaman teknologi komunikasi serba canggih.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya, Prof. Madya. Dr. Rafidah Aga Mohd. Jaladin berkata, bertemu ibu bapa tidak semestinya bersemuka secara fizikal.

“Sebenarnya kita ada kuasa untuk mencipta suasana keme­riahan sambutan Hari Raya Aidilfitri walaupun tanpa bersemuka.

“Pada zaman ini kita ada kemudahan. Kita boleh buat panggilan video melalui pelbagai apli­kasi Whatsapp dan sebagainya.

“Keengganan meninggalkan norma biasa dan mengadaptasi norma baharu yang menjadi kekangan,” katanya ketika dihubu­ngi Kosmo! semalam.

Rafidah Aga berkata, orang ramai perlu juga menyesuaikan diri antara nikmat kesihatan dan nikmat sosial dalam keadaan pandemik Covid-19.

Menurut beliau, nikmat sosial boleh dikompromi, tetapi nikmat kesihatan sangat berbahaya jika diambil mudah dan sambil lewa.

Malah, kata beliau, kecende­rungan melanggar prosedur operasi standard adalah tinggi dalam kemeriahan berkumpul beramai-ramai.

Justeru, katanya, perkara pa­ling penting pada Aidilfitri adalah mendoakan serta menjaga kesihatan diri dan ahli keluarga terutama ibu bapa.

“Mengucup tangan ibu bapa di pagi raya sudah menjadi amalan. Namun, dalam norma baharu yang lebih penting, keredaan mereka terhadap kita. Kita boleh bertemu secara maya,” katanya.

Pakar Epidemiologi dan Ketua Jabatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Rohaizat Hassan turut memberi pandangan tentang norma baharu sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Kata beliau, semua pihak perlu mematuhi SOP dan jangan terlampau selesa serta menjaga diri sendiri sementara Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sedang berjalan ketika ini.

Ujar beliau, pembukaan sempadan untuk merentas negeri ketika Aidilfitri boleh mencetuskan gelombang keempat di negara ini.

 

BERITA BERKAITAN