KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Casey Tang Kee Chee yang merupakan sekutu Low Taek Jho atau Jho Low,
membayar cukai pendapatan RM6.8 juta kepada Kerajaan Malaysia selepas gagal memasukkan kehadiran dalam saman yang difailkan kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Perintah penghakiman ingkar yang difailkan oleh LHDN itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Maslinda Selamat bertarikh pada 21 April lalu.
Berdasarkan dokumen, Casey Tang ,56, selaku defendan diperintah membayar faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi dan kos sebanyak RM2,000 kepada kerajaan selaku plaintif.
Sementara itu menurut perakuan ketidakhadiran yang difailkan LHDN pada 20 April lalu, satu afidavit penyampaian writ saman dan penyataan tuntutan bertarikh 4 Disember lalu kepada Casey Tang telah diserahkan secara penyampaian ganti melalui pengiklanan di akhbar Berita Harian pada 16 Mac 2021 dan penampalan di premis beralamat di Taman Sri Endah di sini pada 17 Mac lalu.
Casey Tang adalah bekas Pengarah Eksekutif1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan merupakan antara individu yang masih dicari oleh pihak polis berikutan penglibatannya dalam skandal penyelewengan dana syarikat terbabit berjumlah RM2.3 bilion.
Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan secara Casey Tang yang dinamakan sebagai defendan mempunyai tunggakan cukai pendapatan selama sembilan tahun bermula 2009 hingga 2019 sebanyak RM6,779,852.36 dan notis-notis taksiran termasuk taksiran tambahan telah dihantar ke alamat terakhir lelaki itu di Taman Sri Endah di sini.
Berdasarkan Akuan Terima Berdaftar (A.R), notis-notis tersebut telah diterima dan kad kuning A.R telah dikembalikan kepada plaintif. Bagaimanapun, defendan sehingga kini masih gagal membayar tunggakan tersebut.
Semalam, kerajaan melalui penghakiman ingkar juga berjaya menuntut tunggakan cukai pendapatan RM67.9 juta daripada seorang lagi sekutu Jho Low iaitu Tan Kim Loong atau Eric Tan.-K!ONLINE














