fbpx

Dua sindiket arak baharu sebulan tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai PPM Pelabuhan Klang menunjukkan arak seludup yang dirampas pihaknya.

KLANG – Dua sindiket pengedaran minuman keras yang baharu aktif sebulan lalu tumpas dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini, semalam.

Dalam serbuan serentak di Sungai Aur Pelabuhan Klang dan Klang Jaya bermula pukul 11 malam itu turut menahan empat ahli sindiket berusia 21 hingga 28 tahun.

Turut dirampas 335 karton arak pelbagai jenis selain sebuah lori dan dua buah kenderaan lain dengan nilai keseluruhan RM394,636.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, kejayaan itu hasil Ops Kontraban dijalankan PPM Pelabuhan Klang yang membuat intipan dan pemantauan di kawasan Sungai Aur bersebelahan sebuah restoran makanan laut.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai kemudiannya telah mengesan dua buah kenderaan masing-masing jenis Toyota Estima dan van jenis Hiace yang mencurigakan keluar dari kawasan berpagar.

“Dua kenderaan itu kemudiannya berjaya ditahan selepas dikejar pasukan serbuan dengan menahan empat individu.

“Turut ditemukan pelbagai minuman keras di dua buah kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosman memberitahu, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan di kawasan berpagar tempat dua buah kenderaan itu keluar dengan menemui sebuah lori juga mempunyai pelbagai minuman keras tidak mempunyai pelekat hologram Jabatan Kastam.

Tambah beliau, kesemua arak tidak bercukai itu masing-masing melibatkan 207 karton jenis Brona, Ginsberg (115) dan Lambo (13).

“Kesemua minuman keras itu bernilai RM159,636 termasuk cukai.

“Siasatan awal mendapati minuman keras itu adalah untuk pasaran daerah ini dengan sindiket baharu aktif sebulan lalu,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI