fbpx

6 daerah di Selangor kena PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan semalam mengumumkan enam daerah di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga 17 Mei depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daerah terlibat adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat, dan Sepang berkuat kuasa pada 6 Mei sehingga­ 17 Mei depan.

“Manakala daerah Kuala Se­langor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih berada di bawah PKP Bersyarat (PKPB).

“Dengan itu, pergerakan me­rentas daerah dan negeri di enam daerah terbabit tidak dibenarkan sama sekali, kecuali kes-kes yang berkaitan dengan urusan kecemasan, kematian dan sebagainya serta hal kerja,” katanya pada ­sidang akhbar khas semalam.

Jelas beliau, premis makanan seperti restoran, food truck, penjaja dan kios dibenarkan ber­operasi dari pukul 6 pagi sehingga­ pukul 12 tengah malam.

“Kedai runcit, serbaneka dan keperluan harian serta farmasi dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 10 malam. Stesen minyak dibenar bero­perasi dari pukul 6 pagi hingga 10 malam, namun stesen minyak di lebuh raya boleh beroperasi 24 jam.

“Selain itu, hospital, klinik dan makmal perubatan boleh bero­perasi seperti biasa. Untuk operasi pasar harian, pasar tani, pasar awam dan pasar minggu dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 2 petang,” ujarnya.

Dalam pada itu, kerajaan membenarkan bazar Ramadan di kawasan PKP beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Sementara itu, jelasnya, Maj­lis Keselamatan Negara turut meneliti pembentangan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) mengenai SOP Hari Raya Aidilfitiri yang dijangka disambut 13 Mei nanti.

“Takbir raya di masjid atau surau, solat sunat hari raya dibenarkan di kawasan PKP, PKPB dan PKP Pemulihan, manakala kawasan dikenakan PKP Diperketatkan tidak dibenarkan.

“Ziarah hari raya bagi PKP adalah dibenarkan pada 1 Syawal sahaja dengan kehadiran maksimum 15 tetamu, manakala ziarah bagi PKPB dan PKPP adalah dibenarkan pada 1 sehingga 3 Syawal sahaja,” ujarnya.

Ismail Sabri mengingatkan penganjuran sebarang majlis atau rumah terbuka hari raya bagi semua kawasan adalah tidak dibenarkan.

Tambahnya, kerajaan juga membuat keputusan untuk menggantung kebenaran rentas negeri melalui Green Travel Bubble dari kawasan PKPP ke PKPP berkuat kuasa serta-merta.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI