KUALA LUMPUR- Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) mencatatkan kutipan sisa pepejal sebanyak 33,000 tan sepanjang tempoh 20 hari Ramadan sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, kutipan sisa pepejal pada tempoh sama tahun lalu hanya mencatatkan kira-kira 27,000 tan sahaja.
“Peningkatan jumlah sisa pepejal kali ini antaranya disebabkan oleh penganjuran bazar Ramadan di mana pada tahun lalu aktiviti seperti itu tidak dibenarkan.
“Apabila bazar dibuka, kemungkinan orang ramai akan membeli makanan melebihi penggunaan sekali gus akan dibuang jika tidak habis,” katanya pada pemberita pada Program Agihan Bubur Lambuk ‘Love food Hate Waste’ di sini tadi.
Katanya, kebenaran penganjuran buffet Ramadan di hotel-hotel dan restoran pada tahun ini juga disifatkan menjadi antara penyumbang kepada peningkatan sisa pepejal itu.
“Peningkatan sisa pepejal itu sangat membimbangkan kerana ia bakal mengurangkan jangka hayat tapak pelupusan selain meningkatkan penghasilan gas methana,” ujarnya.
Susulan itu, pihaknya meneruskan kempen ‘Love food Hate Waste’ dengan menggalakan penggunaan semula bekas makanan yang di bawa ke bazar untuk mengelakkan pembaziran.
“Penggunaan semula bekas makanan yang dibawa sendiri ke bazar akan mengurangkan pembuangan sampah di samping mengelakkan pembelian secara berlebihan,” jelasnya. -K! ONLINE














