fbpx

Kaut untung RM15 juta, seleweng minyak masak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul Nizam (kanan) melihat tangki yang diisi dengan minyak masak bersubsidi yang diselewengkan dalam satu operasi oleh KPDNHEP disebuah lot kilang di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor, hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

PASIR GUDANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan satu sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi yang telah menyeleweng kira-kira RM15 juta bahan itu sepanjang tempoh enam bulan beroperasi.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDNHEP Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil berkata, taktik sindiket berkenaan dibongkar pihaknya dalam satu serbuan di sebuah premis perindustrian di Taman Pasir Putih, di sini awal pagi hari ini.

Katanya, serbuan pada pukul 2 pagi itu dijalankan seramai sembilan pegawai dan anggota ekoran risikan selama sebulan yang telah dijalankan sebelum ini.

“Berdasarkan siasatan awal, kami menganggarkan sindiket ini menyeleweng antara 500,000 hingga 1,000,000 pek minyak masak sebulan, membabitkan nilai sehingga RM2.5 juta sebulan.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengeluarkan minyak masak daripada pek satu kilogram sebelum dipindahkan ke tangki untuk dieksport ke luar negara.

“Sindiket berkenaan mendapatkan bekalan minyak masak daripada 15 jenama berlainan melibatkan pengilang dan pemborong berlesen dari sekitar Lembah Klang, Pahang, Kedah dan Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi premis sindiket berkenaan, di sini hari ini.

Dalam operasi itu, pihaknya menemui 10,149 pek minyak masak 1kg dan 4.5 tan minyak dalam tangki bernilai keseluruhan RM280,000.

Tambah beliau, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan seramai 15 suspek lelaki terdiri daripada tujuh warga tempatan dan lapan warga asing berusia antara 35 hingga 45 tahun.

“Salah seorang daripada mereka yang berusia 35 tahun mengaku sebagai penyelia manakala warga asing yang ditahan adalah dari Nepal dan Bangladesh.

“Kami juga sedang menyiasat sekiranya terdapat penglibatan antara sindiket dengan pemborong dan pengilang yang mengeluarkan 15 jenama minyak masak yang ditemui,” ujarnya.

Shamsul Nizam turut berkata, kes ini merupakan yang pertama seumpamanya dikesan dibongkar pihaknya tahun ini.

“Kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

“Kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (ALMLAT-FPUAA) 2001 bagi mengesan transaksi kewangan yang mencurigakan,” jelasnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI