fbpx

Isu integriti anggota, pegawai PDRM jadi keutamaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Acryl Sani

PETALING JAYA – Isu integriti dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi perkara utama yang akan diberi perhatian dan tumpuan bagi memastikan pasukan itu bebas daripada ancaman rasuah.

Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang akan menjalankan tugas sebagai Ketua Polis Negara (KPN) ke-13 esok berkata, pihaknya akan membentangkan isu berkenaan integriti itu secara menyeluruh dalam satu sesi khas nanti.

“Kita akan fokuskan beberapa isu mengikut turutan kepentingannya,” ujarnya ketika sidang akhbar yang disiarkan secara live di laman sosial Facebook rasmi PDRM selepas selesai majlis serah terima tugas, hari ini.

Anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu turut mengakui tugas sebagai orang nombor satu dalam PDRM merupakan satu beban yang berat jika terpaksa ditanggung bersendirian.

“Saya harap setiap pegawai dan anggota PDRM sentiasa dapat bersama-sama dengan saya bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dilindungi sepenuhnya.

“Jika ditanya perasaan saya (pelantikan sebagai KPN), ikhlas saya katakan ia seolah-olah satu bebanan yang berat diletakkan di kedua-dua bahu saya. Saya percaya jika bersendirian, saya tidak mampu menggalas tanggungjawab ini kerana setiap keputusan yang dilakukan pasti ada perasaan mampu atau tidak, akan berlegar di fikiran kita.

“Bagaimanapun saya yakin dengan barisan pengarah, ketua-ketua polis negeri dan ketua polis daerah yang akan membantu, berganding bahu dalam setiap tugasan yang belum selesai ini demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat,” ujarnya.

Sebagai rekod, Acryl Sani akan memulakan tugas sebagai KPN ke-13 berkuat kuasa esok bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tamat kontrak perkhidmatannya hari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI