fbpx

Yayasan Al-Tarmidhi dan Masjid Al-Bukhary kumpul dana RM210,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebanyak 1,000 pek hidangan berbuka puasa disediakan oleh pihak pengurusan Masjid Al-Bukhary pada setiap hari.

PETALING JAYA – Yayasan Al-Tarmidhi dan Masjid Al-Bukhary berjaya mengumpul dana sebanyak RM210,000 untuk membiayai program mengedarkan juadah berbuka puasa kepada komuniti di Lembah Klang.

Imam Masjid Al-Bukhary, Syeed Muhammad Lutfi Wan Yusuf berkata, program kerjasama itu memasuki tahun kedua dengan makanan berbuka puasa disediakan pengurusan masjid sebelum diedarkan kepada orang ramai terutamanya golongan miskin, pelarian dan petugas barisan hadapan Covid-19.

“Sebelum ini setiap tahun pihak masjid dan Yayasan Al-Tarmidhi akan bekerjasama menyediakan makanan berbuka termasuk bubur lambuk kepada mereka yang menunaikan solat maghrib dan tarawih di masjid sepanjang bulan Ramadan.

“Namun ketika negara dilanda wabak koronavirus pada tahun lalu, kami mengambil keputusan untuk mengedarkan makanan berbuka kepada komuniti di sekitar masjid,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Antara organisasi yang menghulur sumbangan termasuk Commerce Dot Com Sdn. Bhd., Padiberas Nasional Berhad, Gas Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, MMC Corporation Berhad, Tradewinds Plantation Berhad, Malakoff Corporation Berhad, DRB-HICOM Berhad selain Yayasan Al-Tarmidhi sendiri.

Hidangan tersebut disediakan kakitangan masjid yang terdiri daripada 12 orang termasuk tujuh tukang masak dan turut dibantu sukarelawan daripada syarikat penyedia perkhidmatan teknologi maklumat, Puncak Semangat Group.

“Kami menyasarkan untuk mengedar 1,000 bubur lambuk dan 1,000 nasi berlauk sehari sama seperti tahun lalu.

“Antara nasi berlauk yang disediakan ialah nasi lemak ayam goreng, nasi beriani kari daging dan nasi tomato dengan dengan menu akan bertukar setiap hari,” ujarnya. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI