fbpx

Ajak artis guna pengaruh bantu golongan susah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAFIZ dan Syatilla Raikan Ramadan - Mega Agihan Ramadan anjuran Yayasan Maghfirah yang berlangsung di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Kerinchi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

TATKALA seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19, banyak pihak terutamanya golongan sederhana dan miskin yang menerima kesan.

Dapat dilihat, ramai yang kehilangan pekerjaan, tidak kurang juga pendapatan segelintir individu terjejas teruk apabila sektor perekonomian seperti pelancongan tidak dapat dijalankan seperti kelazimannya.

Atas dasar prihatin untuk membantu golongan yang memerlukan, penyanyi dan komposer lagu-lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun menyeru rakan-rakan artis supaya menjadikan platform media sosial serta pengaruh yang ada pada mereka untuk sama-sama membantu golongan yang terjejas.

Ujar Hafiz, ramai yang tidak sedar bahawa golongan yang kurang berkemampuan khususnya kelompok miskin bandar begitu ramai dan memerlukan sokongan baik dari segi material mahupun moral.

“Tahun lalu, saya terlibat dalam program agihan bekalan makanan sempena kedatangan bulan Ramadan. Saya bertemu dengan seorang ibu tunggal yang memelihara anak ramai.

“Saya begitu terkesan apabila juadah berbuka puasa yang dijamu kepada anak-anaknya adalah hidangan yang sama ketika bersahur.

“Kita bukan nak salahkan kehidupan atau pandemik Covid-19, tetapi apabila difikirkan kembali, masih ada keluarga yang sukar untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.

Justeru, Hafiz berpendapat, artis sepatutnya menggunakan pengaruh dan platform yang ada untuk membantu mereka yang kini dalam kesusahan.

Tambahan pula, tidak dapat dinafikan golongan tersebut juga menjadi penyokong dalam kerjaya sesetengah artis yang mereka minati. Maka tidak salah untuk golongan selebriti pula turun padang bagi sama-sama meringankan beban mereka.

Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada majlis Raikan Ramadan – Mega Agihan Ramadan anjuran Yayasan Maghfirah yang berlangsung di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Kerinchi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bergelar duta bagi program Raikan Ramadan untuk tahun kedua, Hafiz berazam untuk terus berganding bahu bersama-sama Yayasan Maghfirah dalam usaha menghulurkan tangan kepada mereka yang memerlukan.

“Yayasan Maghfirah turut membantu pelbagai lapisan masyarakat seperti anak yatim, orang kelainan upaya (OKU) dan juga pesakit HIV,” katanya lagi.

Selain Hafiz, pelakon Syatilla Melvin turut menyertai aktiviti membantu mengagihkan bekalan makanan.

Isteri kepada pelakon Shaheizy Sam itu berkata, dia amat berbesar hati dapat bersama-sama membantu dan ingin terlibat dalam program seumpamanya pada masa akan datang.

Pada majlis tersebut, sebanyak 600 pek Ramadan yang mengandungi bekalan makanan telah diagihkan.

Sementara itu, pihak Yayasan menyasarkan 5,000 kotak pek Ramadan akan diedarkan sepanjang bulan ini ke beberapa PPR lain. Duit raya sebanyak RM50 juga turut disertakan dalam setiap pek Syawal.

Sumbangan termasuk 6,000 pek iftar yang telah diagihkan bermula 1 Ramadan lalu dengan sasaran 35,000 penerima manfaat.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, boleh salurkan derma menerusi akaun Maybank Yayasan Maghrifah – 562263552802.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI