fbpx

Harga minyak masak botol dipengaruhi harga minyak mentah dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan perubahan harga bagi minyak masak botol ketika ini banyak dipengaruhi kenaikan harga minyak mentah dunia.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya bagaimanapun, memandang serius situasi harga minyak masak botol di pasaran kerana ia penyumbang kepada kenaikan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, rakyat perlu faham bahawa minyak masak botol tidak diberikan subsidi dan akan dijual mengikut harga pasaran berdasarkan mekanisme pengapungan harga.

“Harga pasaran minyak masak adalah ditentukan oleh harga Minyak Sawit Mentah dunia dan lain-lain kos seperti kos operasi, kos bahan mentah (minyak masak mentah) dan kos pembungkusan (kos botol atau plastik adalah berbeza).

“Justeru, wajar dan munasabah situasi perubahan harga minyak mentah dunia ini memberi kesan kepada perubahan harga runcit minyak masak botol yang dijual di pasaran,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Alexander berkata, berdasarkan rekod pemantauan harga KPDNHEP sepanjang April ini, harga terendah bagi minyak masak botol tulen 5 kilogram (kg) adalah RM21.50 dan harga tertinggi adalah RM30.

Dalam pada itu, Alexander berkata, program pemberian subsidi terhadap minyak masak dalam polibeg 1 kg tetap diteruskan kerajaan bagi memastikan rakyat terus dapat menikmati bekalan minyak masak untuk kegunaan isi rumah pada harga mampu milik iaitu RM 2.50 bagi 1kg.

Menurutnya, pengguna diberi pilihan untuk memilih minyak masak bersubsidi 1kg yang juga berkualiti atau memilih minyak masak botol yang ada dijual dalam pelbagai berat dan harga.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI