fbpx

Inovatif kuih bulan Aslina berjaya curi hati masyarakat Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASLINA menunjukkan kuih bulan Mama’s Hut Kitchen keluaran syarikatnya di Kajang baru-baru ini.

KAJANG – Siapa sangka, serunding ayam dan daging boleh dijadikan sebagai inti kuih bulan yang juga kuih tradisional masyarakat Cina ketika sambutan Pesta Tanglung.

Inilah keunikan kuih bulan Mama’s Hut Kitchen yang mendapat sijil halal dan telah mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat kuih bulan termasuk pelanggan berbangsa Cina.

Aslina Saleh @ Ramly, 56, berkata, perusahaan tersebut yang mula dipasarkan sejak tahun 2017 itu memiliki lebih daripada 40 jenis kuih bulan yang dihasilkan daripada inovatif resipi rahsianya.

“Selain kuih bulan tradisional, saya mempelbagaikan perisa kuih ini dan antara yang mendapat sambutan adalah Chocolate Nutella, Double Romance, Golden Zamrud, Red Velvet, Caramel Larva dan Green Tea.

“Kesemua kuih bulan yang dihasilkan menitikberatkan gabungan rasa yang seimbang di samping adunan kulit lembap dan teknik membakar agar kuih lebih tahan lama dalam simpanan,” katanya ketika ditemui di kilangnya baru-baru ini.

Aslina menjelaskan, perjalanan perusahaan kuih bulan itu bermula hanya bersandarkan keinginan mencuba kerana tertarik dengan keunikan bentuk kuih itu.

“Bukan mudah untuk mendapatkan sijil halal bagi kesemua variasi kuih bulan dan usaha ini dibantu oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Melalui pensijilan halal ini, saya telah menerima tempahan lebih daripada 3,000 kuih bulan daripada pelanggan di seluruh negara.

“Terdapat juga beberapa syarikat besar yang membuat tempahan untuk diedarkan kepada pelanggan mereka ketika musim pesta Tanglung,” katanya.

Pun begitu, akui Aslina tempahan kuih bulan agak merosot sejak perlaksanaan kawalan pergerakan akibat pandemik Covid-19.

“Dianggarkan kerugian ketika itu lebih RM3,000 dan memandangkan saya tidak mempunyai persediaan dan tiada sumber perdapatan lain menyebabkan saya hampir berputus asa.

“Pengalaman itu membuatkan saya mula berjinak-jinak untuk mempelajari ilmu perniagaan online sebagai cabang perniagaan yang baharu,” ujarnya.

Kuih bulan yang dihasilkannya dijual pada harga antara RM17 hingga RM20 bagi setiap 150 gram (g) dan harga setiap variasi bergantung kepada perisa kuih itu.

Tambah beliau, sepanjang mengoperasi perniagaan tersebut, AIM banyak membantunya untuk mengembangkan perniagaan di samping menyediakan pelbagai kursus bimbingan yang bermanfaat.

“Selain menyediakan pinjaman, AIM juga membimbing saya dalam pengendalian perniagaan dalam norma baharu ini,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI