fbpx

Big Player tembusi pasaran luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HETTY NADIA sentiasa mencari idea untuk menghasilkan koleksi terbaharu bagi pelanggan bersaiz gempal.

PETALING JAYA – Ramai lelaki gempal atau berkategori plus-size sering berdepan dengan masalah untuk bergaya dan membeli-belah koleksi pakaian yang bersesuaian.

Bersandarkan kesukaran dan pengalaman salah seorang ahli keluarganya, Hetty Nadia Md. Sahil, 37, menjadikan isu tersebut sebagai inspirasi memulakan perniagaan Big Player Clothing – Plus Size Men’s Apparel.

Perniagaan tersebut memfokuskan kepada usaha untuk mengetengahkan persalinan lengkap buat lelaki bersaiz gempal.

“Jadi, saya nekad untuk mendalami keperluan individu daripada kumpulan berkenaan sebelum mengatur strategi dalam perniagaan pembuatan persalinan bersaiz besar khusus untuk lelaki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di butik Big Player Clothing – Plus Size Men’s Apparel di Medan Idaman Bussiness Centre, Gombak baru-baru ini.

Hetty Nadia menjelaskan, koleksi persalinan lengkap berjenama Big Player itu dilengkapi dengan baju dan seluar yang menitikberatkan pemilihan kualiti fabrik selesa di samping potongan rekaan khusus untuk kebanyakan lelaki yang memiliki badan berbentuk ‘epal’ atau segi tiga.

Tambah beliau, koleksi pakaian yang ditawarkan di cawangan tersebut memberi kebebasan kepada pelanggan untuk memiliki lebih daripada satu warna.

Ia bukan tertumpu hanya kepada warna hitam tetapi ditawarkan dengan corak rekaan yang sentiasa mengikuti peredaran masa.

“Kesemua material digunakan adalah berkualiti tinggi dan serap peluh,” jelasnya.

Hetty Nadia memberitahu, motif rekaan pada koleksi pakaian diilhamkan oleh pereka muda yang bijak memberikan nafas baharu bahkan sesuai untuk kegunaan individu yang bersaiz gempal.

“Big Player juga menjalankan proses cetakan baju sendiri dengan menggunakan teknik cetakan terkini Direct To Filem yang lebih tahan untuk fabrik,” katanya.

Mengusahkan perniagaan itu bersama ahli keluarga, Hetty Nadia menerangkan Big Player turut mengetengahkan koleksi persalinan lengkap untuk pelbagai acara termasuk kasual, formal dan santai.

Tambah beliau, koleksi pakaian bermula dari 2XL hingga 10XL dan seluar pula bersaiz pinggang 44 ke 70 untuk dipadankan lelaki tubuh gempal bukan saja dalam kalangan lelaki tempatan bahkan jenama itu sudah menembusi pasaran luar termasuk Emiriyah Arab Bersatu dan Mexico.

“Selain T-Shirt pelbagai motif cetakan, jenama ini juga menawarkan koleksi baju sejuk, kemeja dan baju -T berkolar.

“Big Player juga menawarkan pelbagai rekaan seluar, topi, tali pinggang bahkan rangkaian minyak wangi yang direka khusus mengikut kesesuaian identiti lelaki bersaiz gempal untuk tingkatkan keyakinan diri mereka,” katanya.

Menyentuh tentang pengalaman memulakan perniagaan, Hetty Nadia yang hanya bermodalkan RM700 daripada duit simpanan, tidak terfikir akan memulakan perniagaan pembuatan pakaian bersaiz besar secara serius,” katanya.

Akui Hetty Nadia, perjalanan perniagaannya banyak dibantu Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang bukan sekadar menyediakan peluang pinjaman sebagai modal pusingan tetapi juga bengkel kemahiran perniagaan.

“AIM banyak membantu daripada aspek kewangan bagi membolehkan saya mengembangkan perniagaan ini kerana pada awalnya, ekonomi saya kurang memuaskan.

“Jadi, saya memberanikan diri untuk mendapatkan pinjaman bagi meluaskan perniagaan ini.

“AIM juga banyak memberi sokongan moral untuk saya kekal dalam industri ini, “ ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI