fbpx
Motosikal ditunggangi mangsa terbabit kemalangan di Kilometer 133.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara hari ini.

Pengusaha char kuetiau maut nahas jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Seorang pengusaha kuetiau popular di negeri ini maut selepas motosikal ditungganginya terbabit nahas jalan raya di Kilometer 133.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Seberang Jaya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu, mangsa, Zamri Juhari, 33, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.

Difahamkan, Zamri merupakan pemilik Adam kuetiau di Permatang Pauh di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, kemalangan itu membabitkan motosikal jenis Honda CBR 100 ditunggangi mangsa dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dan kereta jenis BMW.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila pemandu kereta berusia 52 tahun yang dalam perjalanan dari Seberang Jaya ke Sungai Dua yang berada di lorong laju terdengar bunyi dentuman di sebelah kiri kereta dipandunya.

“Pemandu kemudian mendapati sebuah motosikal berkuasa besar telah terbabas ke kiri jalan.

“Menurut penunggang Yamaha Y15, semasa berada di lorong motosikal, dia melihat motosikal mangsa dalam keadaan terhuyung-hayang di hadapan motosikalnya.

“Motosikal ditunggang lelaki berusia 24 tahun itu kemudian terbabas di kiri jalan dan dia tidak sempat mengelak motosikal mangsa,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, penunggang Yamaha Y15 cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk mendapatkan rawatan.

“Manakala penunggang Honda CBR 1000 yang merupakan pengusaha Adam kuetiau meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke HSJ untuk urusan bedah siasat,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE