fbpx

Tuhan tak beri peluang betul-betul berhenti – Faizal Tahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZAL TAHIR

PETALING JAYA – Penyanyi dan juga komposer popular, Faizal Tahir berasa sudah tiba masa untuk dirinya mengambil keputusan berehat seketika daripada melibatkan diri secara aktif dalam bidang muzik kerana telah banyak kehilangan masa bersama keluarga.

Faizal atau nama lengkapnya, Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 43, berkata, mindanya sudah keletihan selepas lebih 17 tahun berkarya memerah tenaga. Katanya, sekarang adalah waktu yang tepat untuk memberi keutamaan kepada perkara lain.

“Anak-anak semakin membesar. Yang paling sulung sudah nak habis sekolah menengah. Terus terang saya katakan, saya keletihan sebenarnya. Jadi, saya ingin berehat dan relaks.

“Saya akan tetap berkarya tetapi bukan buat lagu untuk diri saya. Susah untuk saya keluarkan muzik daripada sistem. Kalau ikutkan, banyak kali je saya terfikir nak terus berhenti dan taknak terlibat dalam muzik.

“Bagaimanapun, Tuhan tak pernah beri saya peluang untuk betul-betul berhenti. Ada sahaja benda yang saya ingin kongsi. Jadi, saya masih di sini (berkarya) tapi untuk orang lain. Untuk diri saya (buat lagu untuk diri sendiri) mungkin akan ambil masa dua tiga tahun,” kata bapa kepada enam orang cahaya mata itu kepada Kosmo! Online semalam.

Faizal ditemui ketika majlis pelancaran album terbaharunya berjudul Qibla yang memuatkan lagu nostalgik bersama Mirwana iaitu Aku Tanpa CintaMu yang dirakam semula selepas 17 tahun.

TULISAN tangan Faizal tentang keputusannya mahu berhenti seketika daripada lapangan muzik, sekali gus menjadikan album Qibla sebagai diskografi terakhir daripadanya untuk peminat.

Mengulas lanjut, penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu Assalamualaikum itu mendedahkan, dia berasa ralat dan bersalah kerana selama ini terlalu sibuk dengan kerjaya sebagai pemuzik sampaikan kurang masa bersama keluarga.

“Kita semua pernah jadi anak, ada mak ayah tetapi kurang masa untuk dihabiskan bersama. Saya tak nak anak-anak saya fikir saya macam itu. Dulu waktu muda banyak perkara saya terlepas pandang dan sekarang adalah waktu untuk recover balik.

“Rasa bersalah dengan isteri memang ada jadi saya cuba untuk ambil alih tugas isteri sekarang. Saya cuba juga memasak tapi isteri kata tak payah sebab dia masak lagi sedap (ketawa).

“Benda-benda lain macam siapkan anak pergi sekolah, duduk dengan mereka dan tengok kerja sekolah, itu saya buat sekarang. Kalau di rumah sahaja, saya ingin habiskan waktu dengan mereka,” kata Faizal.

Selain menguruskan hal peribadi, Faizal akan banyak meluangkan masa untuk menggerakkan Faithful Publishing yang ditubuhkannya sejak awal tahun ini untuk mencari pelapis dan mencungkil bakat baharu dalam bidang komposisi dan penerbitan muzik. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI