fbpx

Produser antara lapan diberkas terlibat video promosi judi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video iklan berkenaan yang mempromosikan judi secara dalam talian dengan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

PETALING JAYA – Polis berjaya memberkas lapan individu termasuk seorang produser atau pengarah video yang disyaki terlibat mempromosikan aktiviti perjudian secara dalam talian dengan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Selain produser, mereka yang ditahan merupakan pelakon, ejen artis, juru video atau kamera yang terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kesemua individu yang diberkas itu mengaku menerima bayaran bagi pembikinan penggambaran video tersebut.

“Mereka memaklumkan penggambaran video itu telah diadakan di dua lokasi iaitu di Ampang dan Hulu Langat, Selangor pada 13 Mac lalu.

“Justeru itu, kesemua suspek akan direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, pihak polis juga sedang menggerakkan usaha untuk mengesan ‘dalang’ sebenar di sebalik pembikinan video tersebut.

Dalam perkembangan sama, ujarnya, PDRM turut menerima sebanyak 38 laporan polis berkaitan dengan video berkenaan susulan daripada siasatan yang dijalankan.

Tegasnya, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam apa jua aktiviti perjudian di negara ini.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan masih dijalankan dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat, boleh menyalurkannya kepada pihak polis,” ujarnya.

Terdahulu, satu iklan Hari Raya berdurasi 2 minit 1 saat tular di laman sosial hingga mengundang kecaman dan kemarahan netizen beragama Islam apabila mengeluarkan video mempromosikan aktiviti perjudian dengan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tambah mengejutkan, turut kelihatan dalam video itu adalah pelakon atau model dipercayai beragama Islam yang lengkap mengenakan pakaian tradisional baju kurung dan baju Melayu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI