fbpx

Bawang merah 28.35 tan dari Thailand dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maqis Johor menahan bawang merah dari Thailand bernilai RM251,194 di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Iskandar Puteri, Johor kelmarin.

ISKANDAR PUTERI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) telah menahan sebuah kontena membawa bawang merah bernilai RM251,194 dari Thailand di Pelabuhan Tanjung Pelepas di sini kelmarin.

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, bawang merah seberat 28.35 tan atau 28,350 kilogram (kg) itu dikesan penguatkuasanya semasa melakukan peperiksaan rutin pada pukul 11.30 pagi.

“Pemeriksaan dibuat mendapati dokumen yang dikemukakan mengelirukan iaitu maklumat pada dokumen berbeza dengan label yang terdapat pada bawang merah berkenaan.

“Sehubungan itu, Maqis telah bertindak menahan kesemua bawang merah tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Hizzuan, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana melakukan pengisytiharan yang mengelirukan pihak berkuasa.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

“Manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak lebih RM75,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.

Beliau turut menasihati semua pengimport dan pengeksport agar mengikut peraturan ditetapkan kerajaan bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan Malaysia terpelihara. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI